Skip to main content

Singapura

PM Lee, Presiden Halimah ucap tahniah kepada Presiden baru Korea Selatan

Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (11 Mac) mengucapkan tahniah kepada Presiden baru Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden negara itu.
 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee, Presiden Halimah ucap tahniah kepada Presiden baru Korea Selatan

Gambar fail Yoon Suk-yeol, Presiden Korea Selatan yang baru dilantik. (Gambar fail: AFP)

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (11 Mac) mengucapkan tahniah kepada Presiden baru Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden negara itu.

Encik Yoon, 60 tahun, dari parti pembangkang konservatif Parti Kuasa Rakyat, memenangi jawatan presiden pada Khamis sekali gus mengalahkan pesaing utamanya, Lee Jae-myung dari Parti Demokratik yang memerintah.

"Kemenangan anda mencerminkan keyakinan rakyat Republik Korea terhadap kepimpinan dan visi anda buat negara," kata Encik Lee dalam sepucuk surat kepada Encik Yoon.

Encik Lee menarik perhatian hubungan yang sudah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara, dengan "hubungan ekonomi yang kukuh dan kerjasama erat merentasi pelbagai bidang" selain cabaran yang dikongsi bersama seperti menghadapi penduduk kian menua serta penyusunan semula ekonomi.

Meskipun pandemik COVID-19 melanda, Singapura dan Korea Selatan bekerjasama erat untuk "melindungi ketersambungan rantaian bekalan, memperdalam kerjasama dalam ekonomi digital serta menyambung semula perjalanan rentas sempadan," kata Encik Lee.

Perdana Menteri juga menggambarkan Singapura dan Korea Selatan sebagai "rakan kongsi yang sealiran pendirian berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa", seperti kepentingan Semenanjung Korea yang aman damai serta sebuah sistem perdagangan antarabangsa yang terbuka.

"Singapura dan Republik Korea menikmati persahabatan mesra yang sudah terjalin sejak sekian lama, dikukuhkan lagi dengan kerjasama berbilang aspek, hubungan ekonomi yang kukuh dan pertukaran aktif antara rakyat," kata Puan Halimah dalam utusan suratnya.

Beliau menambah kedua-dua negara bekerjasama rapat untuk "memajukan kerjasama dalam bidang dua hala serta berbilang hala."

Puan Halimah juga menarik perhatian laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) antara Singapura dengan Korea Selatan, yang bermula pada 15 November tahun lalu, sudah membuat "kemajuan baik" dan menyediakan perjalanan bebas kuarantin bagi rakyat kedua-dua negara.

"Saya yakin hubungan antara Singapura dengan Republik Kora akan terus berkembang dan mantap pada tahun-tahun akan datang," kata Presiden Halimah.

"Saya ucapkan kejayaan anda dalam memimpin dan menyatukan rakyat Korea. Saya menantikan lawatan awal anda ke Singapura pada masa yang sesuai."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita