Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee: Pengorbanan, kecekalan masyarakat Islam bantu situasi COVID-19 di S'pura beransur pulih

Amalan-amalan baik dan nilai-nilai murni yang dipelajari sepanjang pandemik juga diharap dapat diteruskan dan diperkukuh agar masyarakat mampu menjadi lebih berdaya tahan.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Situasi COVID-19 di Singapura kini semakin baik dan beransur pulih, didorong usaha dan sikap bertanggungjawab rakyat Singapura, termasuk masyarakat Islam yang membuat pengorbanan dan mempamerkan kecekalan sepanjang dua tahun lalu.

Amalan-amalan baik dan nilai-nilai murni yang dipelajari sepanjang pandemik juga diharap dapat diteruskan dan diperkukuh agar masyarakat mampu menjadi lebih berdaya tahan.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang menyertai majlis berbuka puasa di Masjid Al-Muttaqin hari ini (21 Apr).

pm lee

"Ianya tidak akan beransur pulih tanpa usaha dan sikap bertanggungjawab rakyat Singapura, termasuk masyarakat Islam kita.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Islam kita atas segala pengorbanan dan kecekalan yang ditampilkan selama dua tahun ini," kata PM Lee.

PM LEE IKTIRAF SUMBANGAN ASATIZAH ATAS BIMBINGAN MEREKA

Kehadiran PM Lee di Masjid Al-Muttaqin diiringi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nazir serta para pemimpin MUIS.

Majlis berbuka puasa yang diadakan secara hibrid itu disertai 35 hadirin secara fizikal dan 100 yang lain secara maya.

PM Lee juga mengucapkan terima kasih khususnya kepada kepimpinan Jawatankuasa Fatwa dan Mufti Dr Nazirudin serta barisan asatizah yang memberikan bimbingan yang 'sesuai' dengan konteks Singapura.

Berkat bimbingan mereka, kata PM Lee, kini lebih ramai masyarakat Islam dapat kembali ke masjid dan menunaikan solat Jumaat dan tarawih hampir seperti biasa.

"Bertahap-tahap, kita menyuburkan kembali semangat persaudaraan di antara kita.

"Saya harap kita dapat meneruskan amalan-amalan baik yang telah dipelajari sepanjang pandemik ini, dan memperkukuhkan lagi nilai-nilai murni kita agar dapat lebih berdaya tahan," kata PM Lee.

pm lee

Beliau juga menarik perhatian kepada usaha masjid-masjid untuk mengadakan program keagamaan dan kutipan derma secara online agar masyarakat boleh mengikutinya secara aktif dan selamat semasa pandemik.

PM Lee gembira Gerakan SalamSG juga akan memperkukuhkan lagi usaha tersebut bagi membolehkan lebih ramai Muslim menyaksikan, menyertai dan meraih manfaat daripada program-program masjid.

"Ini mencerminkan dengan jelas daya bingkas masyarakat dalam berdepan dengan ketidaktentuan," kata PM Lee.

PERKUKUHKAN PEMAHAMAN DAN RASA HORMAT ANTARA SATU SAMA LAIN

Majlis berbuka puasa itu juga dihadiri para pemimpin agama-agama lain secara fizikal dan secara maya.

PM Lee turut melahirkan harapan agar usaha-usaha mengukuhkan keharmonian berbilang kaum dan agama dapat diteruskan sebagai masyarakat yang bersatu padu supaya Singapura dapat terus berkembang maju dan berjaya pada tahun-tahun mendatang.

Ini termasuk menghormati serta meraikan perayaan satu sama lain dan PM Lee gembira melihat para pemimpin agama memberi contoh yang baik kepada masyarakat masing-masing.

"Untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat, perkukuhkan pemahaman dan rasa hormat antara kumpulan berbeza, tekankan semula nilai-nilai serupa dalam agama-agama berbeza seperti kebaikan hati dan keihsanan," kata PM Lee.

PM Lee menambah bahawa itu akan membina kepercayaan dan rasa hormat yang akan diperlukan pada masa-masa krisis.

SIKAP BERDISIPLIN SUMBANG KEPADA KESELAMATAN NEGARA

Di samping itu, Encik Masagos juga menggalak masyarakat Islam supaya terus mengamalkan tanggungjawab sosial bagi hari-hari terakhir Ramadan, sebelum tibanya Syawal kurang dua minggu sahaja lagi.

masagos

"Kami bersyukur juga kerana tahun ini kita telah dapat menyambut Ramadan dengan solat bersama dengan saf yang rapat dan ini adalah satu peningkatan yang bermakna dan besar bagi umat Islam di Singapura.

"Ini juga kerana kerjasama oleh ahli jawatankuasa masjid yang sudah mengatur semua langkah-langkah untuk mengekang penularan COVID-19 dan juga masyarakat yang sangat berdisiplin menjaga keselamatan satu sama lain, sekali gus menyumbang kepada keselamatan negara," kata Encik Masagos.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa