Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee papar dunia pasca COVID-19, usaha pemerintah tangani isu masyarakat

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan beberapa langkah untuk membantu para pekerja bergaji rendah dan menangani keprihatinan mengenai isu-isu berkaitan kaum dan masyarakat dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee papar dunia pasca COVID-19, usaha pemerintah tangani isu masyarakat

Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 30 Aug 2021 12:58AM Dikemas Kini : 30 Aug 2021 01:04AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan beberapa langkah untuk membantu para pekerja bergaji rendah dan menangani keprihatinan mengenai isu-isu berkaitan kaum dan masyarakat dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (29 Ogos).

Mengumumkan bahawa Singapura telah melalui titik kritikal - di mana 80 peratus penduduk sudah menerima dua suntikan vaksin bagi melindungi diri mereka daripada koronavirus - PM Lee turut menyentuh tentang apa yang bakal berlaku kelak, tetapi menekankan bahawa Singapura akan bergerak "selangkah demi selangkah".

PM Lee berkata demikian semasa berucap di Kampus Mediacorp pada Ahad malam kepada jumlah penonton fizikal yang kecil dan sekitar 2,000 orang yang mengikutinya secara online dengan rapat tahun ini diadakan dalam bentuk hibrid.

Ia adalah Rapat Umum Hari Kebangsaan yang pertama sejak pandemik COVID-19 melanda Singapura dengan acara tahun lalu dibatalkan. PM Lee sebaliknya menyampaikan ucapan di Parlimen pada tahun lalu.

Ucapan tahun ini juga ditunda selama seminggu, dari 22 Ogos hingga 29 Ogos, setelah kes COVID-19 kembali meningkat di Singapura dan dengan lonjakan kes, pemerintah menguatkuasakan sekatan-sekatan COVID-19 yang lebih ketat.

PM Lee menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu dahulu yang disusuli dalam bahasa Mandarin dan kemudian dalam bahasa Inggeris bagi ucapan yang turut disiarkan di saluran-saluran televisyen dan stesen-stesen radio tempatan.

Mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Singapura atas disiplin dan kebingkasan mereka sepanjang 18 bulan lalu, PM Lee berkata bahawa meskipun virus itu menyebabkan banyak gangguan, usaha Singapura melawan COVID-19 adalah lebih baik berbanding banyak negara lain.

"Kita kini berada dalam keadaan baru. Vaksinasi berhasil memperlahankan jangkitan dan penularan COVID-19," menurut PM Lee.

Beliau menambah bahawa dengan varian Delta yang lebih mudah berjangkit, kes jangkitan COVID-19 tidak mungkin akan merosot ke paras sifar sekalipun Singapura melaksanakan langkah-langkah sekatan bagi tempoh yang panjang. Lantaran itu, Singapura perlu bersiap sedia menempuhi masa depan di mana virus itu akan menjadi endemik.

UBAH STRATEGI

Walaupun jumlah kes koronavirus sudah meningkat pada minggu lalu, jumlah individu yang sakit kekal stabil, menurutnya.

"Penting untuk kita mengekalkan paras ini, supaya kita dapat melonggarkan sekatan dan menghubungkan semula Singapura dengan negara-negara lain," katanya.

Menurut PM Lee, Singapura tidak akan membuka sempadannya secara "mendadak" seperti sesetengah negara, sebaliknya akan melakukannya dengan berhati-hati.

Menurut PM Lee, Singapura telah berjaya mengharungi krisis ekonomi paling buruk sejak ia meraih kemerdekaan dan sedang ekonomi global beransur pulih, Singapura juga mesti "mengubah strateginya".

"Ia bukan lagi mengenai penggunaan rizab untuk menyelamatkan kita. Ia mengenai menjana pertumbuhan baru, pekerjaan baru dan kemakmuran bagi masa depan," katanya.

Menurut PM Lee, Singapura mesti melindungi statusnya sebagai sebuah hab perniagaan, menarik lebih banyak pelaburan asing dan mengembangkan syarikat-syarikat Singapura dan para usahawan.

Bagaimanapun pertumbuhan ekonomi hanya satu huraian saja - supaya rakyat Singapura dan anak-anak mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih baik, menurut Perdana Menteri sebelum beralih kepada usaha pemerintah untuk menagani cabaran-cabaran sosial negara.

Beliau menyentuh tentang usaha untuk menyokong para pekerja bergaji rendah, kebimbangan mengenai persaingan daripada para pekerja hijrahan dan pergeseran yang disebabkan oleh kaum dan agama.

PENDAPATAN LEBIH TINGGI BAGI PEKERJA BERGAJI RENDAH

Menurut PM Lee, ramai pekerja bergaji rendah seperti para pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan bertugas di barisan hadapan melawan pandemik dan mereka juga lebih tertekan berbanding pekerja lain buat masa ini.

"Pekerjaan mereka kurang selamat, mereka lebih berkemungkinan diberhentikan kerja, mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk mengharungi masa-masa sukar. Dalam pandemik, keadaan mereka sangat membimbangkan," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa para pekerja bergaji rendah di Singapura mendapat bantuan, daripada dasar-dasar seperti Model Gaji Progresif (PWM) dan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), tetapi lebih banyak akan dilakukan untuk membantu mereka.

Usia untuk layak mendapatkan WIS akan diturunkan dari 35 tahun kepada 30 tahun dalam masa dua tahun akan datang.

PWM, yang melakar gaji dan peluang kemahiran bagi pelbagai industri, juga akan diperluaskan untuk membantu lebih ramai pekerja, menurut PM Lee.

Ia akan diperluaskan kepada lebih banyak industri - yang pertama kepada sektor runcit pada tahun depan, kemudian ke khidmat makanan dan pengurusan sisa - dan ia juga akan mula meliputi sesetengah pekerjaan yang merangkumi pelbagai industri, bermula dengan penolong pentadbiran dan pemandu.

Firma-firma yang menggajikan para pekerja hijrahan juga akan perlu membayar gaji sekurang-kurangnya S$1,400 kepada semua pekerja tempatan. Hanya apabila para pekerja rakyat Singapura memenuhi gaji kelayakan S$1,400 ini barulah syarikat itu boleh menggajikan lebih ramai pekerja hijrahan.

Menurut PM Lee, gaji kelayakan bagi pekerja tempatan juga akan disesuaikan dari semasa ke semasa.

Pemerintah juga akan memperkenalkan Tanda Gaji Progresif bagi mengiktiraf firma-firma yang menawarkan gaji progresif kepada semua pekerjanya, menurut PM Lee.

"Tanda PW akan memaklumkan para pengguna mengenai syarikat-syarikat yang membayar gaji yang munasabah kepada para pekerjanya," menurut PM Lee. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan