Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee, Mike Pence tegaskan hubungan kukuh AS-S'pura

Singapura dan Amerika Syarikat menjalin hubungan dua hala yang kukuh dan matang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (16 Nov) sambil menambah bahawa beliau yakin hubungan tersebut akan "terus mengukuh di semua peringkat".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Nov 2018 03:34PM Dikemas Kini : 16 Nov 2018 09:56PM

SINGAPURA: Singapura dan Amerika Syarikat menjalin hubungan dua hala yang kukuh dan matang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (16 Nov) sambil menambah bahawa beliau yakin hubungan tersebut akan "terus mengukuh di semua peringkat".

Berucap di sidang media bersama Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence di Istana, PM Lee menegaskan "hubungan kukuh dan sekian lama terjalin" antara kedua-dua negara dan menyifatkan hubungan itu sebagai "rapat dan meluas" dengan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pertahanan dan keselamatan.

Namun, PM Lee menegaskan bahawa terdapat banyak lagi cara untuk terus bekerjasama termasuk dalam sektor tenaga, pengilangan dan teknologi.

Kedua-dua negara turut memperbaharui perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang infrastruktur dan mengumumkan kerjasama bagi program bantuan teknikal yang akan menganjurkan bengkel-bengkel latihan keselamatan siber bagi negara-negara anggota ASEAN.

Mereka juga mengalu-alukan pemeterian Perjanjian Pengongsian Maklumat Cukai, yang akan membolehkan Singapura dan Amerika Syarikat untuk berkongsi maklumat berkaitan cukai bagi menguatkuasakan undang-undang cukai masing-masing dan juga Perjanjian Antara Pemerintah yang membolehkan perkongsian maklumat berhubung akaun-akaun kewangan di bawah Akta Pematuhan Cukai Akaun Asing.

SINGAPURA INSPIRASI HEBAT, KATA MIKE PENCE

Di sidang media bersama itu, Encik Pence turut mengucapkan terima kasih atas layanan mesra dan muhibah PM Lee dan menyifatkan Singapura sebagai "inspirasi" kepada warga dunia.

"Singapura sungguh menyerlah dan Amerika Syarikat berbesar hati Singapura adalah rakan strategik dan sahabat."

Encik Pence juga menggalak ASEAN supaya terus melakar kod tatalaku yang bermakna bagi Laut China Selatan sambil menekankan pentingnya mencapai matlamat untuk melucutkan sepenuhnya senjata nuklear Korea Utara. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan