PM Lee, menteri lain sebulat suara selar serangan berbaur perkauman
PM Lee berkata beliau yakin pihak polis akan dapat mengenal pasti fakta-fakta kes dan mengheret pelakunya ke muka pengadilan.

Cik Hindocha Nita Vishnubhai cedera setelah ditandang pada 7 Mei 2021. (Gambar-gambar: Parveen Kaur)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan para menteri lain pada Isnin (10 Mei) sebulat suara mengutuk perbuatan perkauman di Singapura.
Ini selepas seorang lelaki didakwa menghamburkan kata-kata berbaur perkauman dan menerajang seorang wanita berusia 55 tahun kerana dia tidak memakai pelitup semasa berjalan pantas.
Siasatan polis ke atas kes itu sedang dijalankan.
PM Lee berkata beliau yakin pihak polis akan dapat mengenal pasti fakta-fakta kes dan mengheret pelakunya ke muka pengadilan.
"Perbuatan itu melanggar setiap nilai yang dijunjung tinggi oleh masyarakat berbilang kaum kita dan sikap saling hormat- menghormati serta keharmonian kaum yang kita pegang dengan teguh. Ia merosakkan nama baik kita di peringkat antarabangsa lebih daripada apa yang kita sedari," tegas PM Lee.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu menerusi catatan di akaun Facebooknya, turut merujuk kepada insiden tersebut, sambil menegaskan, meskipun COVID-19 menyerlahkan sikap-sikap terbaik dalam kalangan masyarakat khususnya dalam keadaan sukar seperti sekarang ini, perbuatan diskriminasi dan "serangan-serangan ganas xenofobia" yang tercetus daripada rasa takut dan sikap tidak bertolak ansur juga dapat disaksikan di merata dunia.
"Jangan sesekali kita biarkan kelakuan sedemikian berakar umbi di sini," tegas Cik Fu.
"Sedang kita melawan pandemik yang belum pernah berlaku sebelum ini, lebih penting lagi untuk masyarakat-masyarakat kita bersatu dan menjalin perpaduan lebih kukuh."
Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung juga mengongsikan catatan Cik Fu itu.
"Hanya dengan kita bersatu barulah kita dapat menumpaskan virus ini. Diskriminasi dan perkauman lebih teruk daripada virus," tambah Encik Ong.
Menteri Pejabat Perdana Menteri Tan See Leng, juga mengongsi catatan Cik Fu, sambil menambah "rasa marah dan kebimbangan" semasa krisis COVID-19 tidak harus dibiarkan sehingga memecahbelahkan dan menghantui masyarakat.
"Kita lebih baik dari itu," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.