Skip to main content

Singapura

PM Lee lantik jawatankuasa bagi semak amalan keselamatan data Perkhidmatan Awam

Perdana Menteri Lee Hsien Loong sudah melantik sebuah jawatankuasa untuk melakukan "semakan menyeluruh terhadap amalan-amalan keselamatan data dalam seluruh Perkhidmatan Awam".

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Mar 2019 05:56PM Dikemas Kini : 31 Mar 2019 11:39PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong sudah melantik sebuah jawatankuasa untuk melakukan "semakan menyeluruh terhadap amalan-amalan keselamatan data dalam seluruh Perkhidmatan Awam".

Ini termasuk langkah-langkah dan proses berhubung pengumpulan dan perlindungan data peribadi rakyat oleh agensi-agensi sektor awam, serta pihak vendor yang menguruskan data peribadi rakyat bagi pihak Pemerintah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini (31 Mac), ia turut mendedahkan bahawa Jawatankuasa Semakan Keselamatan Data Sektor Awam itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean.

DPM Teo juga adalah Menteri Bertanggungjawab bagi Tadbir Urus Data Sektor Awam.

Anggota-anggota jawatankuasa itu termasuk para wakil dari sektor swasta yang mempunyai kemahiran dalam bidang keselamatan data dan teknologi, serta para menteri yang terlibat dalam usaha Negara Bijak.

Mereka ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, Dr Vivian Balakrishnan, serta tiga lagi menteri iaitu S Iswaran, Chan Chun Sing dan Dr Janil Puthucheary.

Jawatankuasa itu akan menyemak bagaimana Pemerintah melindungi data rakyat, termasuk peranan para vendor dan pihak ketiga lain yang diberi keizinan.

Jawatankuasa itu juga akan menyarankan langkah-langkah teknikal, proses dan keupayaan bagi meningkatkan keupayaan Pemerintah untuk melindungi data rakyat, serta cara ia memberi respons kepada insiden.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan juga akan menghasilkan pelan bertindak mengenai langkah-langkah segera dan tempoh jangka panjang bagi melaksanakan saranan-saranannya.

Semasa menjalankan semakan, jawatankuasa itu akan mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar antarabangsa dan karyawan industri dari sektor-sektor awam dan swasta. Jawatankuasa itu juga akan disokong oleh sebuah pasukan petugas silang agensi, yang dibentuk oleh para pegawai awam daripada seluruh Pemerintah.

KESELAMATAN DATA DALAM SEKTOR AWAM

Pemerintah akur bahawa beberapa insiden berhubung data yang berlaku baru-baru ini menekankan pentingnya untuk memperkukuhkan dasar-dasar keselamatan data dan amalan dalam sektor awam.

Jawatankuasa Semakan Keselamatan Data Sektor Awam akan menjalankan semakan menyeluruh serta menggabungkan amalan-amalan terbaik industri dan sejagat bagi memperkukuhkan dasar-dasar keselamatan data dalam sektor awam. Ini sedang agensi-agensi masing-masing menyiasat dan mengambil tindakan terhadap insiden-insiden tertentu.

Menurut Pemerintah, semakan itu akan membantu memastikan bahawa semua agensi sektor awam mengekalkan piawai tertinggi dalam tadbir urus data. Ini, menurutnya, adalah penting bagi mengekalkan keyakinan awam dan menyampaikan perkhidmatan awam bermutu tinggi bagi rakyat menerusi penggunaan data.

Pemerintah turut menyatakan bahawa tugas jawatankuasa itu juga akan melengkapi usaha Singapura dalam mencapai wawasan Negara Bijak.

Jawatankuasa Semakan Keselamatan Data Sektor Awam akan mengemukakan hasil dapatan dan saranannya kepada Perdana Menteri sebelum 30 November ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita