Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee kongsi harapan ekonomi tumbuh meluas, seru sokongan bagi pekerja pengangkutan

Pada hari pertama Tahun Baru Cina hari ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berharap tahun ini adalah tahun yang baik dari segi pertumbuhan ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Feb 2018 05:00PM Dikemas Kini : 17 Feb 2018 12:33AM

SINGAPURA: Pada hari pertama Tahun Baru Cina hari ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berharap tahun ini adalah tahun yang baik dari segi pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga berharap untuk melihat pertumbuhan meluas ke lebih banyak sektor memandangkan sekarang ia masih lagi tertumpu dalam bidang-bidang seperti industri pengilangan.

“Tahun ini, saya berharap ia tahun yang baik dari segi pertumbuhan. Saya berharap kita akan dapat meliputi lebih banyak ekonomi dan saya juga berharap ia bukan sekadar pertumbuhan kerana ekonomi-ekonomi lain yang sedang tumbuh turut melakukan peningkatan berterusan – mempertingkat daya penghasilan kita, syarikat kita dan menajamkan kemahiran pekerja kita,” kata PM Lee hari ini (16 Feb).

PM Lee juga berkata pertumbuhan daya pengeluaran pada tahun lalu “amat baik” dan berharap ini akan dikekalkan.

“Tahun lalu, pertumbuhan daya penghasilan amat baik. Kita tumbuh 3.5 peratus mengikut perkiraan tradisional, iaitu bagi setiap pekerja. Namun jika anda melihat dari segi setiap jam – hakikatnya ia lebih baik – iaitu 4.6 peratus. Saya rasa ini bukan setakat disebabkan prestasi tahun lalu, namun perlu juga merangkumi prestasi beberapa tahun lalu. Ini kerana pertumbuhan beberapa tahun tidak menunjukkan hasil,” tambah PM Lee.

“Namun kita menjalankan tugas dan ia membuahkan hasil pada tahun lalu. Jadi saya berharap kita akan dapat mengekalkan pretasi ini dan dapat terus mempertingkat kehidupan masyarakat dan dalam pada itu mempertingkat kemudahan-kemudahan dan khidmat di Singapura.”

PM Lee berkata demikian kepada para wartawan setelah mengadakan lawatan ke depot kereta api SMRT dan SBS untuk menunjukkan perhargaan kepada para pekerja yang bertugas semasa musim perayaan ini.

Mengakui bahawa operasi kereta api pada tahun lalu “menjadi tumpuan”, PM Lee berkata para pekerja sudah bekerja keras dan “secara beransur-ansur menunjukkan kemajuan bersama pihak pengurusan mereka, LTA dan MOT”. PM Lee juga berkata beliau mengikuti perkembangan kereta api.

“Saya meneliti data setiap bulan bagi memastikan trendnya menghala ke arah yang betul dan anda boleh melihat terdapat kemajuan – secara stabil, bertahap-tahap kita meningkatkan kewibawaan, mengurangkan kerosakan, MKBF (Purata Kilometer Antara Kegagalan) juga makin baik.”

SOKONGAN BUAT PEKERJA

PM Lee juga menyeru rakyat Singapura supaya memberikan sokongan kepada pasukan dan kakitangan pengangkutan supaya Singapura boleh terus mengekalkan “pengendalian bertaraf cemerlang”.

Lawatan ke depot kereta api itu dipimpin oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). PM Lee dan isteri beliau diiringi oleh Presiden NTUC Mary Liew, Setiausaha Agung NTUC Chan Chun Sing, Menteri Kedua Pengangkutan Ng Chee Meng, anggota Jawatankuasa Pusat NTUC dan anggota badan eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU).

Di Depot MRT Gali Batu SBS Transit, PM Lee bertemu dengan para pekerja yang menjalankan penyenggaraan dan pemeriksaan ke atas kereta api. PM Lee juga mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi di mana beliau meninjau bagaimana operasi rangkaian kereta api Laluan Downtown dikendalikan.

Semasa lawatan di Depot Tuas pula, PM Lee bertemu dengan para pekerja yang bertugas dalam komponen-komponen tertentu kereta api.

Para pekerja di kedua-dua depot diwakili oleh Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan. Hongbao dan buah limau turut diberikan sebagai habuan kepada para pekerja oleh PM Lee. Terdapat juga sesi tradisi ‘Lo Hei’ bersama kakitangan, pemimpin kesatuan dan rakan-rakan pengurusan.

Mengulas tentang Belanjawan Negara yang akan dibentangkan Isnin depan (19 Feb), PM Lee berkata perinciannya sedang diperhalusi tetapi “terasnya sudah dimuktamadkan”.

“Saya rasa anda tahu sedikit-sebanyak tentang apa yang dirancang oleh Menteri Kewangan. Beliau sudahpun memberikan sedikit gambaran untuk menangani masalah-masalah terdekat. Dalam pada itu merancang bagi jangka panjang. Jangka panjang dari segi pelaburan, kemampanan – kemampanan fiskal dan kemampanan sekitaran,” kata PM Lee.

Secara berasingan, Encik Chan dan para pemimpin kesatuan dari Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan membawa sedikit keceriaan kepada lebih 4,000 kakitangan di depot bas SMRT dan SBS Transit di Ang Mo Kio serta pusat pertukaran bas Tower Transit di Bukit Batok.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan