PM Lee kongsi harapan bagi rakyat muda, warga tua dalam amanat Tahun Baru Cina
Memperkasa rakyat Singapura yang meniti usia senja dan mewujudkan masa depan yang lebih baik bagi golongan muda adalah isu-isu yang diketengahkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam amanat Tahun Baru Cina yang disampaikan hari ini (15 Feb).
SINGAPURA: Memperkasa rakyat Singapura yang meniti usia senja dan mewujudkan masa depan yang lebih baik bagi golongan muda adalah isu-isu yang diketengahkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam amanat Tahun Baru Cina yang disampaikan hari ini (15 Feb).
Dalam amanatnya itu, PM Lee berkata, menghargai warga tua dan memupuk golongan muda tidak sepatutnya terbatas kepada keluarga saja tetapi juga nilai dan sikap yang menyatukan masyarakat.
“Sebagai rakyat, kita harus menjaga golongan warga tua kerana kitalah yang meraih manfaat daripada kerja keras mereka dan membimbing golongan muda yang akan membentuk masa depan kita, “ katanya.
Menurut PM Lee, masyarakat Singapura semakin menua dan pemerintah sedang berusaha untuk membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang aktif dan berkmana semasa mereka meniti usia senja. Ini bermakna pemerintah juga sedang mewujudkan rangkaian sokongan sosial dan masyarakat yang lebih kukuh, sambil memastikan mereka terlibat sama dalam membangunkan khidmat sosial dan sistem jagaan kesihatan.
Bagi golongan muda, pemerintah menurut PM Lee, sedang berusaha untuk memberi mereka peluang yang terbaik dalam kehidupan mereka. Beliau menarik perhatian bahawa kita beruntung kerana dapat tinggal di Asia iaitu sebuah “rantau yang dinamik dan pesat berkembang” lantas kita harus mempersiapkan diri untuk memanfaatkan peluang-peluang ekonomi di negara ini.
“Kita harus memanfaatkan sepenuhnya teknologi baru untuk maju bersama rakan-rakan dan jiran-jiran kita,” menurut PM Lee.
“Kami akan membantu golongan muda kita merealisasikan bakat-bakat mereka yang pelbagai dan membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan latihan agar apabila mereka dewasa kelak, mereka boleh berdikari, membina keluarga dan kerjaya serta memenuhi aspirasi dan impian mereka.”
PM Lee selanjutnya berkata bahawa pemerintah akan membuat pelaburan untuk terus membangunkan negara ini dan prasarananya serta mempertingkatkan persekitaran kehidupan dan ekonomi agar generasi seterusnya boleh mewujudkan peluang-peluang baru, makmur dan maju.
“Kita perlu menjunjung tinggi nilai-nilai Asia kita yang sekian lama bertahan iaitu jimat cermat, berdikari dan meninggalkan warisan berguna untuk anak-anak kita dan bukan membebankan mereka dengan hutang-hutang kita. Kita harus sentiasa memikirkan tentang perkara-perkara yang menjangkaui diri kita, berpandangan jauh dan merancang bagi generasi seterusnya,” tambahnya.
PM Lee turut berharap rakyat Singapura akan merenungkan isu-isu sedemikian semasa musim perayaan ini meskipun sedang meraikannya bersama keluarga dan kawan-kawan. Beliau menegaskan bahawa ia juga sesuatu yang akan dilakukan pemerintah.
PM Lee juga menarik perhatian bahawa Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan menyampaikan Kenyataan Belanjawan tahun ini pada Isnin depan (19 Feb) selepas cuti Tahun Baru Cina dan “isu-isu sedemikian akan mencorak pemikiran di sebalik Belanjawan 2018".
Beliau turut menggesa rakyat Singapura supaya membangunkan masa depan yang dapat dikongsi bersama agar generasi seterusnya dapat meraikan Tahun Baru Cina yang lebih makmur dan muhibah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.