PM Lee: Kita mesti pastikan S'pura ada Presiden Melayu dari semasa ke semasa
"Kita mesti pastikan bahawa dari masa ke masa, Singapura mempunyai seorang Presiden Melayu, seorang Presiden India ataupun dari kaum minoriti lain.
SINGAPURA: "Kita mesti pastikan bahawa dari masa ke masa, Singapura mempunyai seorang Presiden Melayu, seorang Presiden India ataupun dari kaum minoriti lain.
"Saya percaya isu ini penting bukan sahaja kepada masyarakat minoriti tetapi juga Singapura."
Demikian tegas Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2016 hari ini (21 Ogos).
Semasa ucapan dalam bahasa Melayu, PM Lee berkata, semakan terhadap jawatan Presiden Dipilih dibuat atas dasar untuk memastikan masyarakat minoriti merasakan bahawa mereka diwakili secukupnya dalam sistem politik negara ini, dengan kepentingan mereka dijaga dengan rapi.
Encik Lee berkata semakan itu bagi memastikan bahawa dari masa ke masa Singapura akan mempunyai seorang Presiden dari kalangan minoriti, seperti semasa di bawah sistem Presiden Dilantik dahulu.
Di bawah sistem itu, Singapura ada Presiden Yusof Ishak (Melayu), Presiden Benjamin Sheares (Serani), Presiden Devan Nair (India) dan Presiden Wee Kim Wee (Cina).
Namun kini, di bawah sistem Presiden Dipilih, adalah sukar bagi calon bukan Cina untuk dipilih sebagai Presiden.
KEADAAN BOLEH DIPOLITIK DAN PECAH BELAHKAN PERPADUAN
Dalam jangka panjang, keadaan ini, kata Encik Lee, akan menimbulkan perasaan kecewa dan resah di kalangan masyarakat minoriti, dan ia boleh dipolitik dan diperalatkan untuk mengapi-apikan masyarakat minoriti dan memecah belahkan perpaduan kita pada masa depan.
Oleh itu, kata Encik Lee, Singapura harus membuat perubahan sekarang dan mengambil tindakan ketika suasana aman dan rakyat bersatu.
"Jadi, kita mesti pastikan bahawa dari masa ke masa, Singapura mempunyai seorang Presiden Melayu, seorang Presiden India ataupun dari kaum minoriti lain.
"Saya percaya isu ini penting bukan sahaja kepada masyarakat minoriti tetapi juga Singapura," ujarnya.
Bagaimanapun, kata Encik Lee, kriteria kelayakan yang ketat akan dikekalkan. Ini supaya rakyat yakin bahawa sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Presiden layak dipilih dan memenuhi piawaian tinggi yang sama.
"Jawatan Presiden merupakan simbol negara kita. Setiap rakyat Singapura mesti berasa bahawa seseorang dari kaumnya boleh menjadi Presiden malah terpilih menjadi Presiden dari masa ke masa.
"Dengan keyakinan dan sokongan itu, Presiden boleh memainkan peranannya menyatu padukan rakyat Singapura," kata Encik Lee.
PM LEE: PRESIDEN YUSOF ISHAK "MEWAKILI SEMUA RAKYAT S'PURA"
Di akhir ucapannya dalam Bahasa Melayu, PM Lee menyebut tentang Presiden pertama Singapura, Encik Yusof Ishak, yang katanya "mewakili semua rakyat Singapura."
Beliau juga menyebut ucapan tahun baru Encik Yusof pada 1986, ketika mantan Presiden itu berkata "kita di Singapura tidak harus salah anggap bahawa berbagai bahasa, agama, budaya dan keturunan kaum itu sebagai satu batu penghalang terhadap kemajuan dan kemakmuran."
"Sebaliknya pula, kalau kita menghadapi segala perbezaan ini dengan rasa muhibah, sikap sabar dan ingin mempelajari, maka segala aneka perbezaan yang kaya ini akhirnya kelak akan jadi matlamat kita yang terjamin. Antara lain-lain, sikap sabar inilah yang menjadikan Singapura sebuah kota raya yang dinamik dan maju hari ini," kata Encik Yusof dalam rakaman audio yang dimainkan di rapat umum malam tadi.
PM Lee berkata bahawa hari ini, kita berjaya kerana kita mengikut nasihat Encik Yusof, dan itulah yang dibincangkan beliau di Rapat Umum malam tadi - "bagaimana kita meneruskan visi ini dan meraikan kerencaman kita dengan lebih bersemangat lagi."
"Hakikatnya, kita hidup bersatu padu walaupun kita tidak serupa. Bak kata pepatah: Kuat lilit kerana simpulnya. Oleh itu, kita perlu terus bekerja keras, bertolak ansur dengan penuh muhibah supaya kita lebih bersatu hati," ujar PM Lee.
Menutup ucapannya dalam Bahasa Melayu, beliau menambah bahawa "kita juga mesti pastikan bahawa semua warga diwakili secara adil di Singapura."
"Saudara saudari sekalian, inilah tunggak negara kita. Inilah yang membolehkan kaum minoriti dan kaum majoriti kita hidup dengan harmoni, maju dan makmur selama ini. Inilah sebabnya hari ini, kita boleh nyanyikan Majulah Singapura bersama-sama 'sebagai rakyat yang bersatu padu, tidak kira bangsa, bahasa atau agama'," kata PM Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.