PM Lee, Jokowi bincang perkembangan serantau & Myanmar dalam rundingan dua hala
Mesyuarat tersebut diadakan sejurus selepas Encik Lee tiba di Phnom Penh untuk menghadiri Sidang Puncak ASEAN yang ke-40 dan ke-41.

Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan (kiri) di sebuah mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong (dua dari kiri) dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, bersama dengan Menteri Ehwal Luar Indonesia Retno Marsudi (kanan). (Gambar: MCI)
Mesyuarat tersebut diadakan sejurus selepas Encik Lee tiba di Phnom Penh untuk menghadiri Sidang Puncak ASEAN yang ke-40 dan ke-41.
Encik Lee dan Presiden Jokowi sudah bekerjasama rapat secara dua hala dan melalui Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sejak bertahun-tahun lamanya dan mereka berdua sudah menjalin hubungan peribadi yang baik, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).
"Para pemimpin mengadakan perbincangan yang baik mengenai hubungan dua hala. Mereka menegaskan keutamaan bersama kedua-dua negara dalam merangsang pemulihan ekonomi dan pembangunan modal insan serta kemajuan yang dicapai dalam inisiatif kemampanan dua hala," tambah PMO.
Encik Lee dan Encik Jokowi juga membincangkan perkembangan di rantau ini, termasuk langkah-langkah ASEAN yang selanjutnya dalam bertindak balas terhadap perkembangan di Myanmar.
Encik Lee juga akan menghadiri Sidang Puncak G20 di Bali pada minggu depan di mana Presiden Jokowi menjadi tuan rumah kepada sidang itu.
Menurut PMO, Encik Lee berharap dapat menyumbang kepada perbincangan di sidang puncak tersebut.
Beliau juga menekankan sokongan Singapura kepada Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada 2023 dan akan bekerjasama rapat dengan negara itu dalam merealisasikan matlamat dan sasarannya sebagai pengerusi sidang berkenaan.
Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi, juga menghadiri mesyuarat dua hala tersebut.
Dalam catatan Facebooknya, Dr Balakrishnan berkata pada Khamis bahawa beliau mengadakan perbincangan secara mendalam dengan rakan-rakan sejawatannya berhubung beberapa isu termasuk perkembangan di Myanmar.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Ehwal Luar Ukraine Dmytro Kuleba pada petang Khamis.
"Banyak sudah berlaku sejak pertemuan terakhir kami pada September di New York. Encik Kuleba memberi saya kemas kini tentang perkembangan mengenai pertahanan Ukraine terhadap pencerobohan Rusia," tulis Dr Balakrishnan di Facebook.
Awal dari itu, para menteri ehwal luar ASEAN menyaksikan pemeteraian surat cara penerimaan bagi Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) di Asia Tenggara oleh Ukraine.
Ukraine adalah anggota ke-50 TAC, yang menyatakan "prinsip universal kewujudan bersama secara aman dan kerjasama muhibah" dalam kalangan pihak yang terikat dengan perjanjian tersebut.
Sidang Puncak ASEAN tahun ini dan sidang-sidang puncak berkaitan, yang diadakan dari Jumaat hingga Ahad, adalah bersempena ulang tahun ke-55 ASEAN.
Selain perbincangan mengenai keadaan di Myanmar, mesyuarat sidang puncak itu juga akan diadakan bersama rakan-rakan kongsi luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Kanada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.