Skip to main content

Singapura

PM Lee: Identiti masyarakat Cina unik tetapi akan terus berubah

Identiti masyarakat Cina di Singapura akan terus berubah-ubah, sepertimana tradisi perayaan masyarakat itu berubah seiring dengan peredaran zaman, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Amanat Tahun Baru Cina hari ini (4 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Feb 2019 08:13AM Dikemas Kini : 04 Feb 2019 11:16PM

SINGAPURA: Identiti masyarakat Cina di Singapura akan terus berubah-ubah, sepertimana tradisi perayaan masyarakat itu berubah seiring dengan peredaran zaman, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Amanat Tahun Baru Cina hari ini (4 Feb).

Pendatang-pendatang, yang tiba di Singapura selepas Sir Stamford Raffles menjadikan pulau ini sebagai sebuah pelabuhan bebas, terlalu miskin untuk kembali ke tanah air bagi menyambut Tahun Baru Cina, kata PM Lee. Maka itu, tambah beliau, mereka meraikan perayaan tersebut dengan para buruh kasar dan suku kaum masing-masing, mencipta semula tradisi-tradisi seperti menjamu makanan tradisional yang membawa tuah, melakukan tarian singa yang dipercayai turut membawa tuah, dan membakar mercun bagi mengusir roh-roh jahat.

Dengan peredaran masa, masyarakat Cina di Singapura mengamalkan upacara dan tradisi tersendiri bagi Tahun Baru Cina, kata PM lee, merujuk kepada tradisi 'lo hei' semasa sanak saudara berkumpul untuk memakan bersama juadah-juadah seperti tart nenas dan kuih bangkit - satu "cerminan warisan orang Peranakan di Asia Tenggara".

Sejak tahun 1970-an, masyarakat Cina di Singapura juga tidak lagi bermain dengan mercun kerana "ia tidak selamat bagi orang ramai yang tinggal dekat antara satu sama lain," kata PM Lee.

"Namun, untuk menyemarakkan lagi suasana menyambut Tahun Baru Cina, kita mula menganjurkan Perarakan Chingay sejak 1973," kata beliau sambil menambah bahawa perarakan tersebut juga terus berubah - dari sekadar memaparkan budaya Cina kepada "sesuatu yang meraikan semua rakyat tidak kira kaum dan bagi semua peringkat usia".

"Pelibatan semua kaum merangsang lagi semangat dan kepelbagaian dalam acara-acara sambutan, dan mengukuhkan lagi identiti kita yang unik sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama," kata PM Lee.

Beliau menambah, cara rakyat Singapura meraikan Tahun Baru Cina sekarang menunjukkan bagaimana identiti kaum Cina di Singapura sudah berubah dan terbentuk seiring dengan peredaran zaman.

"Rakyat Cina Singapura menyepadukan diri dengan masyarakat umum. Dalam proses itu, mereka membentuk identiti tersendiri yang berlainan dengan masyarakat-masyarakat Cina lain di luar negara - seperti masyarakat China, Hongkong dan Taiwan serta kaum-kaum Cina yang merupakan kelompok minoriti di Asia Tenggara dan Barat," katanya.

PM Lee berkata bahawa, "sedang generasi baru menjadi semakin dewasa dan pendatang-pendatang baru datang ke negara ini, identiti masyarakat Cina Singapura akan terus berubah-ubah".

"Ketibaan para penduduk baru ini akan memperkayakan lagi warisan budaya kita dengan pengalaman serta perspektif-perspektif baru mereka yang berlainan," tambah beliau.

"Pada masa yang sama, saya berharap, mereka dapat menyesuaikan diri dengan norma-norma sosial berdasarkan konteks tempatan, dan menghormati budaya Singapura yang unik, sama seperti generasi-generasi sebelumnya.

"Inilah cara masyarakat Cina terus bersemangat, dan bagi Singapura menjadi negara yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan pada tahun-tahun mendatang," kata PM Lee. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita