Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee hulur ucap takziah atas pemergian Jek Yuen Thong

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan "ucapan takziah yang sedalam-dalamnya" kepada keluarga mendiang Jek Yuen Thong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jun 2018 05:31PM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 11:20PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan "ucapan takziah yang sedalam-dalamnya" kepada keluarga mendiang Jek Yuen Thong.

Dalam satu kenyataan hari ini (6 Jun), Pejabat Perdana Menteri menyatakan Encik Jek, adalah seorang pemimpin perintis Parti Tindakan Rakyat, "yang banyak menyumbang kepada pembangunan Singapura yang moden". Beliau meninggal dunia di kediamannya pada Ahad lalu (3 Jun), menurut kenyataan yang tersebut.

PMO menambah, acara pengebumian diadakan semalam (5 Jun).

Encik Jek merupakan salah seorang daripada 10 anggota Kabinet pertama Singapura, yang memeterai Perjanjian Pemisahan daripada Malaysia pada 1965.

"Sebagai pemimpin utama daripada kepimpinan perintis PAP, beliau menyandang beberapa jawatan dalam Kabinet dan sektor perkhidmatan awam, serta banyak menyumbang kepada pembangunan negara moden Singapura," menurut PMO.

Sebagai tanda hormat dan penghargaan terhadap sumbangan Encik Jek kepada negara, Pemerintah mengarahkan supaya Bendera Negara di semua bangunan Pemerintah dikibarkan separuh tiang esok (7 Jun).

Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut menyampaikan tanda penghormatannya kepada Encik Jek dalam suratnya kepada isteri mendiang.

Dalam suratnya, PM Lee menyatakan bahawa antara sumbangan terbesar Encik Jek adalah usahanya mengerahkan kaum Cina untuk menyokong visi PAP sebagai parti bukan komunis dan membina sebuah negara berbilang kaum.

Mendiang juga membantu untuk membuat draf Akta Pekerjaan 1968 yang mendapat sokongan rakyat. Ini, menurut PM Lee, satu sumbangan penting dalam membina hubungan buruh yang harmoni di Singapura. Tanpa sumbangannya, Singapura mungkin tidak mampu menarik pelaburan dan menjalani proses pengindustrian dengan pesat pada tahun 1970-an.

Secara peribadi, Perdana Menteri mengimbas kembali tentang pengalamannya ketika baru memasuki bidang politik pada 1984, sambil menyifatkan Encik Jek - Anggota Parlimen Queenstown pada masa itu - sebagai sangat "peramah dan murah hati" terhadap para AP yang lebih muda.

"Selepas beliau bersara sebagai seorang AP pada 1988, beliau tetap berhubungan dengan rakan-rakan lamanya, dan saya gembira dapat melihat kehadirannya di acara-acara perhimpunan."

Beliau turut menulis kepada Cik Jek: "Pemergian Encik Jek satu kehilangan besar kepada negara... Ingatan saya bersama anda dan keluarga dalam masa-masa hiba ini."

Surat Perdana Menteri dilampirkan di bawah ini:

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan