Skip to main content

Singapura

PM Lee hargai usaha Saudi pastikan ibadah haji jemaah SG semasa COVID-19 berjalan lancar; usul tambah lagi kuota haji

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee hargai usaha Saudi pastikan ibadah haji jemaah SG semasa COVID-19 berjalan lancar; usul tambah lagi kuota haji

Gambar: Lee Hsien Loong/Facebook

Diterbitkan : 19 Oct 2023 03:20PM
RIYADH: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan penghargaan Singapura kepada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman Al Saud atas khidmat cemerlang Saudi yang memastikan ibadah Haji para jemaah Singapura berjalan lancar semasa pandemik COVID-19.

Di samping itu, PM Lee turut mengulangi permintaan agar kuota rasmi haji bagi jemaah Singapura dapat ditambah bagi memenuhi hasrat jemaah tempatan.

PM Lee berkata demikian dalam catatan Facebooknya pada Rabu (18 Okt). Beliau kini berada di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada rangka lawatannya selama enam hari ke Timur Tengah.
Menerusi catatannya di Facebook, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut melahirkan rasa berbesar hati apabila isu tersebut dibangkitkan oleh PM Lee kepada Putera Mahkota Saudi itu.
Selain Encik Masagos, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing turut mengiringi PM Lee dalam rangka lawatannya itu.
Related article image
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berjabat tangan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman Al Saud. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
Pada Rabu (18 Okt), PM Lee dan rombongan dari Singapura diraikan dalam satu jamuan tengah hari oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Istana Al Yamamah.

Kedua-dua negara juga bersetuju dengan sebulat suara untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dalam bidang-bidang seperti perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, ekonomi digital dan pembangunan sektor awam.

PM Lee turut berkongsi bahawa beliau berbesar hati menyaksikan pertukaran lawatan sambil belajar yang berterusan dan perkongsian amalan-amalan terbaik serta pembangunan sumber manusia dan kepimpinan antara kedua-dua negara itu.

Singapura juga mengalu-alukan kerjasama berbilang hala di bawah platform (Jawatankuasa Bersama Singapura- Saudi), dalam bidang-bidang seperti keterhubungan, ekonomi digital dan inovasi, tenaga dan industri.

PM Lee turut menarik perhatian kepada minat syarikat-syarikat tempatan untuk memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan di bawah Visi 2030 Arab Saudi.

Sehubungan itu, beliau menggalak syarikat-syarikat Saudi supaya memanfaatkan kedudukan Singapura sebagai gerbang kepada Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Singapura juga mempelawa rakyat Arab Saudi untuk melakukan lawatan dan bercuti di negara ini, sama ada atas urusan perniagaan mahupun untuk melancong.

PM Lee juga mengundang Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman Al Saud untuk melakukan lawatan ke Singapura.

Sementara itu, Encik Masagos berkongsi bahawa beliau turut berkesempatan untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Saudi, Ahmad bin Sulaiman AlRajhi. Kedua-dua menteri itu saling bertukar-tukar pandangan mengenai usaha untuk mengukuhkan institusi keluarga dan membantu golongan yang memerlukan dalam masyarakat.

Delegasi PM Lee dijangka akan melakukan lawatan ke Madinah dan Al Ula pada Khamis (19 Okt). Al Ula adalah sebuah bandar bersejarah yang terletak di bahagian utara Madinah, yang dibangunkan sebagai sebuah tarikan pelancong dalam usaha Arab Saudi untuk merancakkan ekonominya.

Rombongan pemimpin Singapura itu juga akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Singapura yang berada di Saudi, termasuk para pelajar yang sedang mengikuti kursus pengajian tinggi di sana.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita