Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee hadir sidang puncak ASEAN di Kemboja, pertama diadakan sejak COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menghadiri Sidang Puncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dari hari ini (10 Nov) hingga Ahad (13 Nov) di Kemboja, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan medianya.

Ini adalah kali pertama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan mengadakan acara itu secara bersemuka sejak pandemik COVID-19 bermula.

Sidang puncak 2020 di Vietnam dan sidang puncak 2021 di Brunei diadakan secara maya.

Kemboja menjadi pengerusi sidang puncak ASEAN tahun ini, dan para pemimpin di sidang puncak tersebut - yang diadakan di Phnom Penh - akan berbincang mengenai bagaimana sepuluh negara dalam persatuan itu boleh menggalak keamanan, kemakmuran dan kestabilan di rantau ini sedang ia pulih daripada pandemik COVID-19, menurut PMO.

Tema bagi sidang puncak tahun ini ialah "ASEAN A.C.T: Menangani Cabaran Bersama".

Para pemimpin akan berbincang mengenai keadaan yang semakin memburuk di Myanmar, perkembangan serantau dan antarabangsa yang lain.

Bulan lalu, para Menteri Luar dan wakil dalam satu mesyuarat penting di Jakarta bersetuju bahawa persatuan itu harus "lebih bertekad" untuk mencari huraian berhubung Myanmar.

Dalam mesyuarat pada 27 Oktober itu, persatuan tersebut mengesahkan semula pentingnya Konsensus Lima Perkara, pelan damai yang dipersetujui pada April 2021, dua bulan selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar.

Pelan itu menyeru agar keganasan segera ditamatkan dan dialog diadakan antara semua pihak untuk menamatkan konflik Myanmar.
Ia melantik utusan khas ASEAN, yang kini Timbalan Perdana Menteri Kemboja dan Menteri Luar, Prak Sokhon.

Ia juga sudah dipersetujui oleh ASEAN untuk memberikan bantuan kemanusiaan ke Myanmar.

Menteri Ehwal Luar Singapura, Vivian Balakrishnan melaui hantaran Facebooknya menyatakan bulan lalu bahawa menteri-menteri membincangkan cadangan untuk dipertimbangkan oleh pemimpin ASEAN di sidang puncak pada November.
Pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing tidak dijangka hadir di sidang puncak ASEAN kerana persatuan itu mengecualikan kepimpinan politik negara itu pada mesyuarat peringkat tinggi.

Sebaliknya, menjemput "wakil bukan politik".

Pihak junta setakat ini enggan menghantar wakil ke sidang puncak tersebut.

ULANG TAHUN KE-55

PMO menyatakan sidang puncak tersebut juga menandakan ulang tahun ke-55 persatuan itu.

Para pemimpin menarik perhatian mengenai pencapaian mereka sekaligus mencari jalan untuk mengukuhkan kerjasama serantau dan menegakkan "sikap berkecuali ASEAN" yang merujuk kepada peranan persatuan untuk menggalak hubungan berbilang negara di rantau ini.

Para pemimpin ASEAN akan mengadakan pertemuan dengan rakan luar semasa Sidang Puncak ASEAN Plus Three, Sidang Puncak Asia Timur dan sidang puncak dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri China, Li Keqiang, dijangka hadir dalam sidang puncak itu.

Dr Balakrishnan dan pegawai dari Kementerian Ehwal Luar (MFA) akan bersama dengan PM Lee dalam lawatan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong akan menjadi Pemangku Perdana Menteri sewaktu PM Lee menghadiri sidang puncak berkenaan.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan