PM Lee gesa warga muda SG hargai jasa, pengorbanan Lee Kuan Yew dan pemimpin perintis

Gambar: Lee Hsien Loong/Facebook
Ia sekali gus melakar hala tuju pembangunan negara ini.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian semasa mengimbas sumbangan bapanya sempena ulang tahun kelahiran mendiang yang ke-100 dalam satu catatan Facebook yang dimuat naik pada Sabtu (16 Sep).
"Generasi-generasi seterusnya menjunjung nilai-nilai itu dan memperjuangkan aspirasi-aspirasi tersebut — meritokrasi, kebebasan beragama dan keharmonian kaum, keadilan dan kesaksamaan; berdikari; integriti dan budaya bebas rasuah — dan secara kolektif mewujudkan metropolis yang bertenaga dan berdaya maju," tambah PM Lee sambil beliau menekankan kesan mendalam sumbangan mendiang Lee Kuan Yew terhadap pembangunan negara.
Sempena ulang tahun kelahiran bapanya, PM Lee turut menarik perhatian inisiatif-inisiatif yang dianjurkan untuk memperingati warisan sumbangan dan jasa mendiang Lee Kuan Yew kepada Singapura.
Antaranya ialah pameran yang berjudul 'Now Is Not The Time SG', yang dikunjungi PM Lee baru-baru ini.
Para pengunjung boleh mengalami visi masa depan Singapura melalui kaedah kecerdasan buatan (AI) dan media interaktif yang diterapkan dalam pameran tersebut.
Pelbagai program dianjurkan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) bagi memperingati mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Selain itu, orang ramai juga boleh mengunjungi halaman interaktif kendalian CNA, yang memaparkan petikan ucapan mendiang Encik Lee yang tidak dapat dilupakan, di samping banyak kegiatan serta pameran lain yang diadakan bagi memperingatinya.
Menurut PM Lee, setiap acara yang dianjurkan akan menyerlahkan sumbangan mendiang serta nilai-nilai yang dipegang kuat oleh bapanya.
Dalam pada itu, PM Lee turut meluahkan harapan agar warga Singapura, terutama sekali golongan muda yang membesar dalam negara yang serba moden dan maju, akan dapat menghargai keadaan dan kehidupan Singapura pada zaman lalu serta keazaman dan tekad generasi perintis dalam mengharungi dan mengatasi cabaran-cabaran besar ketika itu.
Sebelum mengakhiri catatannya itu, PM Lee menekankan: "Kisah Singapura tidak berakhir di sini. Semoga kita dikurniakan dengan kebijaksanaan, keberanian dan keyakinan untuk membawa Singapura ke era yang lebih maju lagi. Majulah Singapura!"
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.