Skip to main content

Singapura

PM Lee gesa pemimpin Asia, Eropah perkukuh sistem berbilang pihak

Dengan kerjasama berbilang pihak semakin tertekan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa para pemimpin dari Asia dan Eropah yang menghadiri sidang puncak dwitahunan supaya bekerjasama untuk memperkukuhkan sistem yang sekian lama dibangunkan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee gesa pemimpin Asia, Eropah perkukuh sistem berbilang pihak

Perdana Menteri Lee Hsien Loong tiba di Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di Majlis Eropah di Brussels pada 18 Oktober 2018. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Oct 2018 12:37AM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 12:45AM

BRUSSELS: Dengan kerjasama berbilang pihak semakin tertekan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa para pemimpin dari Asia dan Eropah yang menghadiri sidang puncak dwitahunan supaya bekerjasama untuk memperkukuhkan sistem yang sekian lama dibangunkan itu.

PM Lee berkata sistem berbilang pihak yang kukuh akan memanfaatkan negara-negara tanpa mengira saiz dan sekiranya sistem itu menjadi lemah, maka kesan-kesannya termasuk taraf kehidupan yang lebih rendah dan persaingan bertambah meningkat, yang berisiko menjejas kestabilan dunia.

PM Lee berkata demikian semasa berucap di sesi pleno kedua di Sidang Puncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) yang ke-12 pada Jumaat (19 Okt). Sidang puncak dua hari itu yang bertemakan "Rakan-rakan global bagi cabaran-cabaran sejagat" dihadiri oleh para ketua negara atau pemerintah dari 51 negara Eropah dan Asia, yang membincangkan isu-isu seperti perdagangan, perubahan iklim dan cabaran-cabaran keselamatan.

Dalam ucapannya, PM Lee berkata kerjasama berbilang pihak menjadi asas penting bagi kerjasama antarabangsa sejak Perang Dunia II.

Bagaimanapun, dengan negara-negara kini lebih cenderung kepada tindakan sepihak atau perjanjian dua hala, sehingga ada yang menolak pendekatan dan institusi berbilang pihak, sistem tersebut kini semakin tertekan.

Memandangkan ekonomi-ekonomi saling bergantung kepada satu sama lain, PM Lee menekankan bahawa pemain-pemain utama juga bergantung kepada sistem global yang stabil untuk bekerjasama secara produktif, bersaing secara aman serta menghuraikan pertikaian dan bekerja rapat dalam bidang-bidang baru.

"Jika kita melemahkan rangka kerja berbilang pihak, sekurang-kurangnya taraf kehidupan akan menjadi lebih rendah dan selepas itu, kita akan menyengitkan lagi persaingan dan konflik berisiko menyebabkan keamanan dunia menjadi tidak stabil."

Oleh itu, peraturan-peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) harus dikemas kini dan diperkukuhkan supaya rangka kerja perdagangan boleh menangani isu-isu baru seperti pemindahan teknologi dan e-dagang.

Ia juga mesti mencerminkan imbangan ekonomi sedunia yang sudah berubah - iaitu pengaruh dan tanggungjawab negara-negara - supaya ia dianggap sebagai adil dan mampan dari segi politik, kata PM Lee.

Menyentuh tentang tadbir urus kewangan sejagat, PM Lee berkata Kumpulan Tokoh Ulung G20 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam sudah menyarankan beberapa pembaharuan praktikal bagi memperkukuhkan kebingkasan kewangan sejagat serta mengurangkan kekerapan berlakunya dan kesan krisis-krisis supaya negara-negara tidak perlu rasa bimbang tentang keterbukaan.

Apabila dilaksanakan kelak, saranan-saranan itu yang menerima sokongan padu daripada Suruhanjaya Eropah dan Bank Pusat Eropah akan menyokong dan menstabilkan sistem kewangan sejagat.

PM Lee juga menarik perhatian bahawa kebanyakan isu sejagat yang lain seperti perubahan iklim dan pelucutan senjata nuklear hanya boleh dihuraikan dengan pelibatan berbilang pihak.

Sungguhpun demikian, PM Lee berkata beliau gembira banyak negara Asia dan Eropah sudahpun tampil untuk mengesahkan komitmen mereka terhadap kerjasama berbilang pihak melalui perjanjian atau tindakan.

Kesatuan Eropah misalnya dijadual memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan Singapura pada Jumaat (19 Okt).

MESYUARAT DUA HALA, PEMETERAIAN EUSFTA

Sebelum sesi pleno berkenaan, PM Lee mengadakan rundingan meja bulat bersama para pemimpin Korea Utara, Perancis, Vietnam, Slovenia dan Slovakia di sidang puncak tersebut.

PM Lee juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Finland Juha Sipila di luar sidang puncak itu, di mana kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan dua hala dan mengalu-alukan kerjasama dalam bidang-bidang seperti pendidikan dan perubahan iklim.

Semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki pula, kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan dua hala antara Singapura dengan Poland yang semakin erat dan kukuh.

PM Lee dijadual memeterai perjanjian EUSFTA pada tengah hari Jumaat bersama Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Junker, Presiden Majlis Eropah Donald Tusk dan Canselor Austria Sebastian Kurz. Austria kini adalah presiden Majlis EU.

Para pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perlindungan Pelaburan EU-Singapura (EUSIPA) dan Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama EU-Singapura (ESPCA). 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita