Skip to main content

Singapura

PM Lee gesa orang ramai terus galas tanggungjawab sosial

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Apr 2022 05:20PM Dikemas Kini : 07 Apr 2022 09:57PM

SINGAPURA: Hari ini (6 Apr), genap dua tahun sejak Singapura menguatkuasakan tempoh pemutus rantaian jangkitan dalam usaha membendung penularan virus COVID-19. 

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata keputusan sukar itu terpaksa diambil demi mengurangkan jumlah kes COVID-19 dan melindungi nyawa para penduduk. 

Walaupun pandemik sudah menyebabkan gangguan kepada kehidupan kita, PM Lee berkata rakyat Singapura kekal bersatu dan berdaya bingkas dalam mengharungi masa-masa sukar itu.

Singapura kini, menurut PM Lee, dalam keadaan lebih baik. 

Dalam catatannya di Facebook siang tadi, PM Lee menarik perhatian bahawa ramai daripada penduduk sudahpun divaksin sepenuhnya. 

Ramai yang dijangkiti COVID-19 dan pulih daripada jangkitan itu, sekali gus meningkatkan imuniti kita terhadap virus tersebut. 

Maka itu, langkah-langkah pengurusan selamat dapat dilonggarkan. 

PM Lee turut melahirkan rasa gembira melihat ramai penduduk bersikap berhati-hati dengan memilih untuk memakai pelitup semasa berada di kawasan luar, meskipun ia tidak lagi diwajibkan. 

Beliau bagaimanapun memberi amaran, sistem jagaan kesihatan masih menghadapi bebanan besar, dengan kakitangan jagaan kesihatan bekerja sepanjang masa. 

PM Lee berkata sedang para penduduk menyesuaikan diri kepada norma baru, beliau menggesa orang ramai supaya terus menggalas tanggungjawab sosial dan peribadi.

Ini termasuk mengambil ujian COVID-19 sekiranya berasa kurang sihat dan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada.

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita