PM Lee gesa negara anggota APEC sebar manfaat lebih meluas sedang ia berkembang
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sudah membuat kemajuan besar dalam menggalak pertumbuhan inklusif.
Namun, negara-negara anggota mesti menyebarkan manfaatnya dengan lebih meluas sedang mereka terus berkembang.
Berucap kepada para pemimpin semasa Sidang Puncak APEC di San Francisco, PM Lee berkata sistem berbilang hala berteraskan peraturan masih lagi harapan terbaik Singapura bagi mencapai persekitaran antarabangsa yang stabil.
Beliau juga menggesa lebih banyak pembaharuan dan kerjasama dalam perdagangan sedunia demi memastikan jaminan bekalan makanan.
Sidang puncak ekonomi ini dianggap penting bagi Asia Pasifik di tengah-tengah ketegangan strategik dan keadaan geopolitik yang tidak menentu.
Sungguhpun demikian, PM Lee berkata manfaat perdagangan bebas dan ekonomi yang saling berkait masih lagi penting.
"Walaupun kami mungkin bersaing, masih ada bidang untuk bekerjasama. Kita perlu bekerjasama untuk memperolehi manfaat bersama, kerana jika kita tidak bekerjasama, kita akan bertentangan tujuan, dan memburukkan masalah antara satu sama lain," kata PM Lee.
PM Lee berkata demikian kepada para wartawan di akhir sidang puncak itu, dengan merujuk kepada perbincangannya di Retreat Pemimpin Ekonomi APEC bersama lagi 20 negara lain.
"Tahun ini, kami membuat sedikit lagi kemajuan kerana ^berbanding mengisytiharkan visi baharu untuk masa depan, yang sering berlaku di mesyuarat APEC, tuan rumah Amerika Syarikat memutuskan bahawa ia akan memberi tumpuan kepada visi yang sudah diisytiharkan dalam mesyuarat sebelumnya, yang saya fikir adalah pendekatan yang baik."
"Dalam persekitaran ini, ia membolehkan anda memperolehi beberapa keputusan praktikal dan mengambil beberapa langkah ke hadapan," tambah PM Lee.
Semasa mesyuarat itu, PM Lee menekankan bahawa pertubuhan-pertubuhan antarabangsa diperlukan demi memastikan pertumbuhan untuk semua.
Beliau juga menggesa pembaharuan bagi perdagangan global dan badan kewangan.
Ini termasuk memulihkan fungsi penyelesaian pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
PM Lee berkata pembaharuan itu juga harus mengiktiraf realiti ekonomi dan politik.
Ini bermakna meneroka cara bekerjasama yang lebih fleksibel dan mengamalkan pendekatan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.
Beliau juga yakin bahawa Singapura boleh memanfaatkan peluang walaupun dalam masa tidak menentu.
Untuk melakukan demikian, Singapura mesti kekal terbuka dan berdaya saing.
"Sudah tentu, kita perlu memastikan kita mempunyai infrastruktur, terdapat rumah yang mencukupi, flat yang mencukupi, khidmat kereta api yang mencukupi dan segala-galanya, supaya Singapura dapat menampung semua orang yang ingin berada di negara ini."
"Namun dalam keadaan dunia yang rumit, terdapat peluang. Kami bukan yang terakhir dalam barisan untuk merebut peluang tersebut. Malah, kami berada dalam kedudukan tinggi dalam senarai itu, dan kami harus meningkatkan lagi kedudukan kami," kata PM Lee.
Sidang APEC diteruskan di Peru tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.