Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee gesa negara anggota APEC perdalam integrasi ekonomi dalam persekitaran digital

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (11 Nov) menggesa negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) agar memperdalam integrasi ekonomi dalam persekitaran digital. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee gesa negara anggota APEC perdalam integrasi ekonomi dalam persekitaran digital

Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 08:12AM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 08:13AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (11 Nov) menggesa negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) agar memperdalam integrasi ekonomi dalam persekitaran digital. Beliau berkata ini akan membantu memudahkan perniagaan berhubungan rentas sempadan dan menembusi pasaran baru dalam ekonomi digital.

“Sudah tiba masanya untuk memperluaskan visi integrasi ekonomi serantau ini kepada persekitaran digital,” kata Encik Lee dalam satu rakaman awal ucapan dasar yang distrimkan di Sidang Puncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC tahun ini.

“Untuk meningkatkan kerjasama kita dalam ekonomi digital, negara-negara anggota APEC seharusnya berusaha mencapai sebuah perjanjian ekonomi digital serantau atau perjanjian kerjasama."

Sidang dua hari itu diadakan secara maya dan akan dihadiri oleh pemimpin politik, CEO dan pakar ekonomi APEC. APEC mempunyai 21 negara anggota dengan proses kerjasama kebanyakannya tertumpu pada isu-isu perdagangan dan ekonomi.

Kenyataan Encik Lee itu dibuat sedang pandemik COVID-19 mempercepatkan penggunaan teknologi digital dengan teknologi mengubah perdagangan dan pembayaran rentas sempadan.

Dalam rantau Asia Tenggara sahaja, ekonomi Internet diunjurkan meningkat tiga kali lebih banyak menjelang 2025 kepada lebih AS$300 bilion (S$405 bilion) setiap tahun, kata Encik Lee, merujuk kepada potensi "besar" ekonomi digital.

Meskipun perjanjian perdagangan seperti Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) sudah menetapkan beberapa peraturan untuk mempermudahkan pelaksanaan e-dagang, Encik Lee berkata, perjanjian ekonomi digital yang tertumpu akan "memajukan perkara ini".

“Ia menyediakan titik rujukan mengenai rangka kerja dikongsi dan peraturan bagi perdagangan digital termasuk teknologi baru dan inovasi data," ujar beliau.

Beberapa negara anggota APEC sudahpun memeterai perjanjian sedemikian, kata Encik Lee, menarik perhatian kepada Perjanjian Kerjasama Ekonomi Digital (DEPA) antara Chile, New Zealand dan Singapura serta bagaimana lebih banyak ekonomi APEC baru-baru ini menyatakan minat terhadapnya.

“Ini berguna sebagai satu asas pembangunan ke arah sebuah reka bentuk serantau atau sedunia lebih besar," ungkapnya.

Encik Lee berkata anggota APEC boleh meluaskan DEPA sedia ada atau membangunkan satu perjanjian baru dengan sebuah keanggotaan yang diperluaskan. Ini akan mewujudkan satu "dimensi integrasi ekonomi yang baru", kata beliau.

Ekonomi negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sudahpun mengambil langkah-langkah awal untuk berbuat sedemikian, kata Encik Lee, merujuk kepada portal online Rangkaian Bandar Bijak ASEAN di mana bandar-bandar boleh berkongsi amalan terbaik dalam bidang pertumbuhan baru seperti pendigitalan.

“Semua ini adalah mekanisme berguna yang boleh disesuaikan dalam konteks serantau lebih luas," tambah beliau.

Di peringkat sejagat, tegas Encik Lee, terdapat juga keperluan untuk mempunyai sebuah respons yang "bersepadu" untuk menguruskan peralihan digital di tengah-tengah jurang peluang yang semakin meluas antara negara yang memiliki teknologi berbanding yang tidak ada akses digital.

Misalnya, terang beliau, penubuhan piawai digital sejagat dan inisiatif kerjasama akan membolehkan lebih ramai orang untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi digital.

“Ada banyak bidang untuk dipertimbangkan, sebagai contoh, akses adil dan selamat kepada data, aliran data rentas sempadan lebih bebas, menangani salah maklumat dan ancaman siber serta memperkukuhkan kerjasama berbilang hala untuk mengambil manfaat ke atas teknologi digital bagi pembangunan mampan," terang beliau.

Encik Lee berkata reka bentuk digital sejagat harus berkhidmat untuk meningkatkan kehidupan seharian orang ramai, melibatkan semua pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swastsa, menetapkan norma dalam cara berbilang disiplin untuk menangani cabaran kompleks dan mengenal pasti matlamat pembangunan digital yang dikongsi bersama.

Pada masa yang sama, dunia perlu bersetuju dan melaksanakan peraturan pelbagai hala yang berkesan dalam keselamatan siber, kata Encik Lee, sambil menarik perhatian bahawa pendedahan lebih banyak kepada pendigitalan bermakna lebih terdedah kepada ancaman siber.

"Meskipun setiap ekonomi mesti mengukuhkan pertahanan siber kita sendiri, kita juga memerlukan peraturan asas antarabangsa supaya dunia digital tidak menjadi ruang anarki hanya tertakluk kepada undang-undang yang mementingkan diri sendiri untuk bertakat," katanya.

Encik Lee berkata Singapura secara aktif mendampingi masyarakat pelbagai pihak berkepentingan untuk memperkukuhkan kerjasama keselamatan siber di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan forum antarabangsa lain.

Misalnya, Singapura akan menempatkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura untuk memperkukuhkan daya ketahanan siber serantau, kata beliau.

“Singapura akan bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa ke arah sebuah ekonomi digital yang bukan sahaja terbuka dan bebas tetapi juga selamat dan saling beroperasi," tambahnya.  

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa