Skip to main content

Singapura

PM Lee gesa ASEAN bersatu tempuhi ketidaktentuan global; kekal tegas terhadap Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
LABUAN BAJO: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan ASEAN mesti kekal tegas dalam mengecualikan Myanmar daripada mesyuarat blok itu di peringkat politik.

Beliau menambah, walaupun Myanmar belum mencatat kemajuan dalam soal keamanan, rundingan mesti diteruskan dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik negara itu.

PM Lee berkata demikian semasa menggulung penyertaan beliau dalam Sidang Puncak ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia pada Khamis (11 Mei).

Para pemimpin ASEAN membincangkan pelbagai isu genting serantau seperti krisis politik Myanmar di sidang puncak itu.

Para pemimpin junta Myanmar dilarang menghadiri mesyuarat ASEAN sejak 2021 kerana gagal memenuhi pelan damai Konsensus Lima Perkara.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata larangan itu ada tujuannya.

"Tiada sebab untuk mengubah format ini kerana tiada kemajuan dicapai. Jika kami sekarang kata baiklah kami lupakan saja dan teruskan sahaja apa yang kami sudah capai serta katakan kami tidak capai sebarang kemajuan dan kami meneruskan hidup seperti tiada yang bersalah. Itu sesuatu yang saya fikir bukan perkara yang betul untuk dilakukan," kata PM Lee.

PM Lee menambah melaksanakan pelan damai itu suatu proses yang payah dan memakan masa.

Pelan itu termasuk mengakhiri keganasan dengan segera, berunding dengan semua pihak serta membenarkan bantuan kemanusiaan.

Para pemimpin ASEAN juga membincangkan sama ada pelan damai itu perlu disemak.

PM Lee menggesa ASEAN supaya bersatu padu di tengah-tengah persekitaran global bermasalah sekarang.

"Semakin dunia bergolak, semakin itulah anda memerlukan sokongan keselamatan dan ASEAN adalah sokongan kita. Ia adalah rakit keselamatan bagi semua anggota ASEAN. Jadi dalam dunia yang bergolak, kita perlukan ASEAN supaya bersatu padu, perlu kohesif, perlu berkesan, perlu diutamakan," tambah PM Lee.

Buat pertama kalinya juga, Timor-Leste menghadiri Sidang Puncak ASEAN sebagai pemerhati dan berikut adalah komen PM Lee.

"Jika anda tanya negara-negara anggota ASEAN sama ada mahu menerima Timor-Leste? Semua orang akan kata 'ya'. Tapi adakah kita rasa Timor-Leste sudah sedia untuk masuk sekarang? Kami rasa itu akan makan masa. Contohnya berhubung perjanjian ekonomi, ada 66 perjanjian ASEAN dan akan mengambil masa bagi Timor-Leste menyetujui kesemuanya."

"Saya rasa penting untuk Timor-Leste menyelesaikan semua proses ini agar apabila tiba masanya ia menyertai ASEAN, ia benar-benar anggota ASEAN dan bukan separuh anggota atau anggota yang menunggu," kata PM Lee.

Menyertakan sebuah lagi negara adalah tugas besar, tambah PM Lee.
Sumber : CNA/RU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita