Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee gembira dapat raikan Hari Raya bersama 800 penduduk di Ang Mo Kio

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya sejak 2019, para penduduk Ang Mo Kio dapat berkumpul bagi majlis perjumpaan Hari Raya yang diadakan secara besar-besaran di Kelab Masyarakat Fernvale pada Sabtu (6 Mei).

Acara 'Silaturahim Di Aidilfitri' anjuran tujuh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dari GRC Ang Mo Kio, SMC Kebun Baru dan Yio Chu Kang itu dihadiri sekitar 800 penduduk.

Selain dapat menikmati juadah Hari Raya, para hadirin berbilang kaum dan agama juga dapat mengenali budaya Melayu dengan lebih dekat lagi di acara itu yang turut disokong badan Harmony Circles.

Bermula jam 11.00 pagi tadi, para penduduk dijemput untuk sertai Karnival Budaya yang menampilkan 12 gerai - daripada menyediakan makanan sehinggalah kepada aktiviti-aktiviti budaya menarik yang mereka boleh cuba dan pelajari secara percuma.

 

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Antaranya termasuk cara menganyam ketupat, membuat bunga manggar dan permainan-permainan tradisional seperti gasing dan batu seremban.

Istimewanya, kebanyakan gerai karnival budaya itu dikendalikan oleh para penduduk dan inisiatif masyarakat sendiri.

"Saya rasa macam gembira selepas COVID ini, macam meriah suasana dapat berkumpul, dapat berjumpa dan dapat berbual dengan ibu bapa yang lain," kongsi seorang pengunjung Cik Hafizah Hamir.

"Terutama sekali selepas COVID ini, kita rasa gembira sebab menyambut Hari Raya bersama macam ini dengan keluarga, dengan teman-teman saya," tambah seorang lagi pengunjung, Cik Nik Naeimah.

PENDUDUK BERBILANG KAUM DAPAT KENALI BUDAYA MELAYU
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Para penduduk bukan Melayu/Islam juga mengalu-alukan acara itu kerana dapat mengenali budaya dan adat orang Melayu dengan lebih mendalam lagi.

"Terdapat banyak gerai di sini yang menampilkan budaya Melayu, di mana kita dapat mencuba pelbagai permainan dan bermain pelbagai alat-alat muzik yang berbeza jadi saya rasa ini satu usaha yang baik," menurut pengunjung, Encik Jeffrey Cheng.

"Yang datang dan yang ingin tahu tentang tradisi kita orang Melayu, bukan hanya golongan orang Melayu/Islam kita tetapi golongan dari Tionghua, Hindu yang turut datang ke sini dan ia adalah satu peluang keemasan untuk mereka mengetahui dan mengenali tradisi Melayu yang kita amat banggakan," ujar pengunjung, Cik Shalwana Ju Mahat.

PM LEE GEMBIRA DAPAT RAIKAN HARI RAYA BERSAMA PENDUDUK
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Acara itu juga diserikan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau sempat beramah mesra dengan para penduduk di sini serta mencuba beberapa aktiviti yang disediakan.

PM Lee juga menyertai para penduduk dan para penasihat akar umbi yang lain, dalam menyelesaikan lukisan batik beramai-ramai.

Ia merupakan lukisan-lukisan batik oleh Encik Ika Zahri Sarkasi.

Dalam ucapannya, PM Lee meluahkan rasa gembiranya dapat berkumpul semula dengan para penduduk sempena Hari Raya.
 
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
"Saya rasa ini adalah Hari Raya yang baik kerana bazar-bazar sejauh ini berkesan dan sambutan agak mesra kerana kami dapat berjumpa satu sama lain, dan berseronok bersama dan saya harap kita akan ada peluang yang baik untuk membina masyarakat dan menanti tahun indah akan datang," kongsi Encik Lee kepada para penduduk.

"Kami perlu bekerja keras kerana ada masalah di dunia sekeliling kita dan saya rasa kita perlu bekerja keras bersama, sebagai satu Singapura dan kita akan dapat harunginya dan menyambut Hari Raya seterusnya," tambah beliau.

Para penduduk juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan istimewa termasuk persembahan Hari Raya oleh murid- murid dari tadika Fernvale PCF dan Iyad Perdaus Child Development.

"Alhamdulillah, hari ini kita dapat menyambut bersama satu sama lain. Agak meriah juga suasana hari ini kerana sudah tiga tahun kita tidak dapat bersama secara besar-besaran macam ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk-penduduk yang datang pada hari ini," kongsi Anggota Parliman (AP) GRC Ang Mo Kio, Nadia Ahmad Samdin.

"Saya berharap acara seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara penduduk dan juga para penasihat akar umbi kita bersama penduduk kita juga," tambah beliau.

Acara itu juga sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan masyarakat yang sudah menyokong penduduk yang memerlukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan