Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee gariskan 3 bidang tumpuan; seru MENDAKI tafsir erti pendidikan secara menyeluruh

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Misi MENDAKI untuk terus mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam melalui pendidikan kekal relevan dan penting, namun dalam konteks hari ini, badan bantu diri itu perlu mentafsir pendidikan dengan lebih meluas.

Menggariskan perkara itu ketika berucap di majlis sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40 pada Sabtu (1 Okt), Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata masih banyak lagi yang perlu dilakukan sungguhpun masyarakat Melayu/Islam sudah berjaya mencatat kemajuan besar. Ini kerana, jelasnya, aspirasi dan keperluan masyarakat Melayu/Islam semakin berkembang.

"Para pelajar di setiap peringkat keupayaan, mahu melakukan lebih baik, dan kita harus menyokong mereka untuk berbuat demikian, bukan sahaja mereka yang berada di tempat prestasi cemerlang," kata beliau semasa berucap di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS) siang tadi. 

Pendidikan, kata Encik Lee, kini merangkumi pembelajaran sepanjang hayat.

Para pekerja Melayu/Islam, menurut beliau, juga terjejas akibat perubahan meluas dari segi ekonomi dan pasaran pekerjaan. Ini terutama sekali pekerja lebih lanjut usia yang kurang berkelayakan dan berdepan dengan risiko lebih tinggi. 

Beliau juga menarik perhatian kepada segelintir anggota masyarakat yang masih menghadapi kesukaran.

Sebilangan mereka datang daripada keluarga pincang dan yang lain, terjejas dengan penyalahgunaan dadah.

"Ramai daripada mereka tinggal di flat sewa dan bergelut untuk memastikan dapat menyara keluarga dengan mantap. Anak-anak mereka hidup dalam persekitaran yang tidak kondusif, menghadapi masalah pembelajaran dan lantas ketinggalan di belakang berbanding kawan-kawan mereka di sekolah sejak usia muda lagi," kata beliau.

Keluarga-keluarga sedemikian, menurut Encik Lee, bukan sahaja memerlukan bantuan dari segi pembelajaran anak-anak mereka, tetapi juga untuk mengatasi kelemahan dari segi sosial serta ekonomi dan ia menyulitkan usaha mereka untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan. 

Tambah beliau lagi, terdapat juga keluarga-keluarga seumpama itu dalam masyarakat lain tetapi masyarakat Melayu/Islam membentuk bilangan yang besar, sekali gus mencetuskan kebimbangan. 

Lantaran itu, MENDAKI memikul tugas berat untuk menangani isu-isu yang masih membelenggu masyarakat Melayu/Islam setempat.

3 BIDANG TUMPUAN UNTUK MENDAKI PACU KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Perdana Menteri turut membentangkan tiga bidang utama yang harus diberikan tumpuan oleh MENDAKI dalam usahanya mentafsir pendidikan secara lebih menyeluruh.

Pertama, MENDAKI perlu memperluaskan sokongan lebih awal lagi menerusi pendidikan awal kanak-kanak.

"Amatlah penting bagi kita memberi anak-anak kita, terutama mereka dari keluarga yang kurang bernasib baik, permulaan yang baik dalam kehidupan mereka. Langkah ini melengkapi inisiatif nasional, seperti KidSTART, yang juga memberi tumpuan kepada tahun-tahun pertama kehidupan kanak-kanak," kata beliau.

Kedua, MENDAKI perlu bekerja rapat dengan keluarga-keluarga kurang bernasib baik bagi membantu menghuraikan isu-isu keluarga dan masalah-masalah sosial.

Dengan itu, kata Encik Lee, ia akan membolehkan kanak-kanak dari keluarga sedemikian membesar dan belajar dalam keadaan yang lebih kondusif. 

Walau bagaimanapun, usaha itu memerlukan campur tangan sosial dan juga individu, kata Encik Lee, di mana sukarelawan, kaunselor serta mentor MENDAKI berganding bahu dengan keluarga-keluarga sedemikian dan melakukan perubahan besar.

Yang ketiga, adalah memupuk budaya dan menggalak pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pekerja Melayu/Islam.

Kata Encik Lee: "Untuk memastikan mereka kekal berdaya kerja, mereka harus ambil peluang-peluang baru dan berkembang maju dalam ekonomi yang pesat berubah.

"Maka itu, saya gembira bahawa MENDAKI sedang meneroka idea-idea baru untuk memenuhi misi yang diperluaskan dan meningkatkan lagi hasil pendidikan serta pendidikan sepanjang hayat."

MENDAKI KUMPUL DANA UNTUK TINGKATKAN PROGRAM

Encik Lee akur bahawa semua usaha itu memerlukan sumber.

Lantaran itu, beliau memberi jaminan bahawa pemerintah akan menyokong usaha badan bantu diri itu mengumpul dana S$40 juta bagi menambah baik program-program sedia ada dan melaksanakan inisiatif-inisiatif baru.

Pemerintah, katanya, akan memadankan jumlah dana yang dikumpul berdasarkan setiap dolar yang disumbangkan.

“Pemerintah menyokong usaha ini dan akan memadankan dana yang dikumpul MENDAKI, berdasarkan sumbangan sedolar bagi setiap dolar, sehingga S$20 juta. Jadi jika MENDAKI boleh mengumpulkan S$20 juta menerusi usahanya sendiri, ia boleh mencapai sasaran sebanyak S$40 juta.

“Saya berbesar hati setelah mendapat tahu bahawa beberapa penderma sudahpun tampil untuk menyumbang. Pada masa yang sama, saya gembira kerana  masyarakat lain juga tampil memberi sumbangan,” kata PM Lee.

MENDAKI telah memainkan peranan penting dalam kisah kejayaan yang dicapai setakat ini, kata Perdana Menteri, dan beliau melahirkan keyakinan bahawa badan bantu diri itu bersama dengan masyarakat Melayu/Islam akan terus berusaha untuk mengecapi kecemerlangan serta terus mencapai kemajuan lebih hebat dalam masa beberapa tahun mendatang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan