Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee, Fumio Kisihida meterai perjanjian koridor perkapalan mesra alam dan digital

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Dec 2023 06:04PM Dikemas Kini : 16 Dec 2023 11:29PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bertemu rakan sejawatannya dari Jepun, Fumio Kishida pada Sabtu (16 Dis) ketika lawatannya ke Tokyo.

PM Lee berada di Tokyo dari 15 Disember hingga 18 Disember bagi Sidang Puncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Kedua-dua perdana menteri mengalu-alukan pemeteraian memorandum kerjasama untuk menubuhkan koridor perkapalan mesra alam dan digital antara pelabuhan di Singapura dan Jepun.

Perjanjian itu akan memudahkan penggunaan huraian digital dan penyediaan bahan api pelepasan sifar karbon dan hampir sifar melalui projek demonstrasi, dedah Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kedua-dua perdana menteri juga mengesahkan hubungan yang sudah lama terjalin dan cemerlang antara Singapura dengan Jepun, serta membincangkan bagaimana negara tersebut boleh mengembangkan dan memperdalamkan lagi kerjasama dalam bidang penting bagi kedua-dua negara, seperti ekonomi masa depan, pendigitalan, keselamatan, serta kemampanan dan daya tenaga.

Mereka juga bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan serantau dan antarabangsa, serta menekankan kepentingan menegakkan peraturan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kedua-dua perdana menteri juga "tidak sabar untuk meraikan 60 tahun hubungan diplomatik Singapura-Jepun pada 2026".

KORIDOR PERKAPALAN MESRA ALAM DAN DIGITAL

Memorandum kerjasama untuk menubuhkan koridor perkapalan mesra alam dan digital ditandatangani oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat dan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Saito Tetsuo.

Memorandum tersebut menandakan koridor perkapalan mesra alam dan digital pertama antara Singapura dan Jepun.

Ia akan membangunkan piawaian dan amalan terbaik yang menyokong penyahkarbonan, pendigitalan dan pertumbuhan industri maritim, tambah Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT).

Di bawah kerjasama itu, Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) akan bekerjasama dengan enam pelabuhan Jepun, iaitu pelabuhan Tokyo, Yokohama dan Kawasaki yang membantu wilayah Kanto, pelabuhan Osaka dan Kobe yang membantu wilayah Kansai, dan pelabuhan Nagoya yang membantu wilayah Chubu.

"Enam pelabuhan Jepun ini merupakan rangkaian utama bagi wilayah ekonomi utama Kanto, Kansai dan Chubu," tambah MOT.

Mereka mengendalikan 57 juta tan kargo secara keseluruhan pada 2020, yang mewakili "sebahagian besar jumlah kargo" yang dikendalikan di Jepun.

Dengan penubuhan koridor perkapalan mesra alam dan digital, MPA dan pelabuhan Jepun berhasrat untuk memulakan projek perintis dan percubaan untuk bahan api marin alternatif, seperti ammonia dan hidrogen.

"Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk membangunkan infrastruktur, piawaian dan latihan mengisi bahan api yang diperlukan. Mereka juga akan menggalakkan pembangunan dan penggunaan teknologi untuk menyahkarbonkan infrastruktur pelabuhan," dedah MOT.

Singapura dan Jepun akan mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian digital untuk menyelaraskan proses pelepasan pelabuhan.

Kedua-dua pihak juga akan bertukar maklumat dan amalan terbaik tentang risiko keselamatan siber maritim serta aspek pendigitalan maritim yang lain, tambah Kementerian Pengangkutan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan