Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee, DPM Heng & Zaqy Mohd sanjungi peranan, sumbangan kaum hawa sempena Hari Wanita Antarabangsa

Peranan dan sumbangan kaum wanita kepada kemaslahatan masyarakat dan pembangunan Singapura harus diraikan dan diiktiraf sewajarnya.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee, DPM Heng & Zaqy Mohd sanjungi peranan, sumbangan kaum hawa sempena Hari Wanita Antarabangsa

(Gambar: Singapore Council of Women's Organisations/Facebook)

SINGAPURA: Peranan dan sumbangan kaum wanita kepada kemaslahatan masyarakat dan pembangunan Singapura harus diraikan dan diiktiraf sewajarnya.

Ini kerana mereka menjadi tunggak kekuatan keluarga mereka dan diangkat menjadi peran contoh masyarakat dan negara atas bakti mereka yang tidak ternilai sumbangannya.

Pujian dan kata-kata yang membakar semangat itu diungkapkan oleh sebilangan pemimpin negara sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada Ahad (8 Mac).

Dalam catatan Facebooknya hari ini (8 Mac), Perdana Menteri Lee Hsien Loong menarik perhatian bahawa semakin ramai wanita kini bertugas di barisan hadapan untuk melindungi keselamatan rakyat Singapura serta menjaga kesihatan para pesakit yang dijangkiti virus korona COVID-19.

Sedang kaum wanita turut menggalas tanggungjawab yang lebih besar lagi berat untuk memastikan Singapura sentiasa selamat, mereka juga memainkan peranan penting sebagai seorang ibu, isteri, nenek, anak dan sebagainya kepada keluarga masing-masing.

"Hari ini memang istimewa bagi mengiktiraf sumbangan wanita dan peranan penting mereka yang amat dihargai dalam kehidupan kita," kata PM Lee.

Maka itu, kata PM Lee, mereka wajar diangkat sebagai #SuperSHEro.

SIAPAKAH #SUPERSHERO YANG BERTAKHTA DI HATI DPM HENG?

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat turut mengucapkan selamat meraikan Hari Wanita Antarabangsa kepada setiap wanita di Singapura yang memainkan peranan penting dalam membantu membentuk Singapura hari ini.

"Luangkan masa untuk meraikan kehadiran wanita dalam hidup anda - tidak kira isteri, ibu, nenek, kakak, adik, teman hidup ataupun rakan sekerja - yang memberi inspirasi atau meninggalkan kesan positif, bukan sahaja hari ini tetapi pada masa-masa yang lain juga," kata beliau dalam catatan Facebooknya hari ini.

Encik Heng turut memberikan sanjungan kepada isterinya, Cik Hwee Nee, yang dianggap beliau sebagai #SuperSHEro bagi dirinya.

Cik Hwee, katanya, adalah tunjang kekuatan dan sokongan beliau. Encik Heng turut mengongsi bagaimana Cik Hwee sentiasa berada di sisinya untuk memberikan kasih sayang dan jagaan terbaik dari peristiwa beliau diserang angin ahmar sehinggalah beliau pulih sepenuhnya pada 2016.

"Marilah kita terus mewujudkan sebuah persekitaran yang menyokong kaum wanita agar mereka dapat mencapai aspirasi masing-masing bagi membina sebuah Singapura yang lebih baik untuk semua," tambahnya.

KUNTUMAN BUNGA MAWAR SEMPENA HARI WANITA ANTARABANGSA

Bagi menunjukkan penghargaan mereka kepada kaum Hawa, Jawatankuasa Eksekutif Wanita Marsiling hari ini mengagihkan 2,000 kuntum bunga mawar kepada para penduduk, pengunjung dan kakitangan kesihatan barisan hadapan.

Turut menyertai usaha itu ialah Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad.

"Dalam dunia hari ini, kaum wanita sering memainkan pelbagai peranan seperti menjaga keluarga, menguruskan sebuah pasukan, membesarkan anak-anak... dan sebagainya.

"Oleh itu, penting sekali untuk kita menyanjungi pengorbanan mereka dan memberikan penghargaan kita kepada kerja keras dan belaian kasih sayang mereka," tambahnya dalam catatan Facebooknya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan