Skip to main content

Singapura

PM Lee, diplomat kanan China luah penghargaan atas sokongan dua hala semasa pandemik COVID-19

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan diplomat kanan China Yang Jiechi pada Khamis (20 Ogos) meluahkan penghargaan atas sokongan dua hala yang terjalin antara Singapura dengan China semasa pandemik COVID-19, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee, diplomat kanan China luah penghargaan atas sokongan dua hala semasa pandemik COVID-19

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 21 Aug 2020 08:18AM Dikemas Kini : 21 Aug 2020 08:27AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan diplomat kanan China Yang Jiechi pada Khamis (20 Ogos) meluahkan penghargaan atas sokongan dua hala yang terjalin antara Singapura dengan China semasa pandemik COVID-19, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Encik Yang yang juga pengarah di Pejabat Suruhanjaya Pusat China bagi Ehwal Luar dan anggota Politburo Parti Komunis mengadakan lawatan ke Singapura dari Rabu (19 Ogos) hingga Jumaat (21 Ogos).

Dalam satu pertemuan pada Khamis, PM Lee dan Encik Yang menegaskan lagi hubungan rapat antara Singapura dan China, menurut MFA dalam satu kenyataan media. Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara Singapura dengan China.

PM Lee dan Encik Yang turut bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan global dan serantau dan saling menekankan peri pentingnya untuk mengukuhkan kerjasama berlandaskan peraturan antarabangsa, menurut MFA.

Dalam catatan Facebooknya semalam, PM Lee berkata perbincangannya dengan Encik Yang berhasil.

"Meskipun dengan pandemik yang berlaku sekarang, saya berasa senang dapat kembali kepada keadaan yang normal sedikit," kata PM Lee.

Beliau juga melahirkan harapan agar aturan "laluan pantas" bagi urusan perniagaan penting dan perjalanan rasmi antara kedua-dua negara akan dapat diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak kawasan "jika situasi kekal terkawal". Aturan itu kini meliputi enam wilayah dan bandar di China.

"Hubungan kita dengan China kukuh dan meliputi pelbagai aspek. Saya yakin bahawa dengan bekerjasama antara satu sama lain dan dengan masyarakat antarabangsa, kita akan dapat mencapai lebih banyak kemajuan pasca COVID-19," kata PM Lee.

Semasa lawatannya, Encik Yang juga bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Mereka membincangkan tentang "kerjasama kukuh dan pelbagai aspek" antara Singapura dan China, menurut MFA.

Kedua-dua negara saling bekerja rapat bagi menangani kesan COVID-19 terhadap kesihatan awam dan ekonomi, termasuk menerusi aturan "laluan pantas" yang dilancarkan pada Jun lalu, menurut MFA.

MFA menyatakan kedua-dua pihak mengalu-alukan Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala yang ke-16 - iaitu forum peringkat tertinggi yang diadakan setiap tahun antara Singapura dan China - yang akan dihoskan oleh Singapura pada tahun ini.

Dalam satu catatan Facebook pada malam semalam, Encik Heng berkata ini merupakan kali pertama beliau mengadakan pertemuan secara bertemu muka dengan seorang pemimpin asing sejak situasi COVID-19 memuncak.

"Sedang kita secara bertahap-tahap menyambung semula kegiatan harian dan membuka semula sempadan kita, kita boleh menjangkakan lebih banyak pertemuan di peringkat tinggi, dengan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan, sedang kita mengukuhkan hubungan dengan negara-negara di seluruh dunia," katanya.

Semasa lawatannya, Encik Yang turut diraikan dalam satu jamuan tengah hari bersama Menteri Kanan Teo Chee Hean, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu global dan serantau.

"Mereka menegaskan betapa pentingnya untuk mengukuhkan kerjasama bagi menangani cabaran global dan bagi membentuk sebuah rantau yang saling bekerjasama dan bersikap membina," menurut MFA.

Sebelum itu, Encik Yang bersarapan dengan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan. Kedua-duanya saling bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan serantau dan antarabangsa dan mengesahkan momentum positif kerjasama dua hala, menurut MFA.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita