Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee dan pemimpin SAF 'amat pandang serius terhadap isu keselamatan'

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau dan tampuk kepimpinan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) "amat memandang serius terhadap isu keselamatan", menyusuli beberapa kematian melibatkan anggota Perkhidmatan Negara (NS).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Feb 2019 04:46PM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 11:07PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau dan tampuk kepimpinan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) "amat memandang serius terhadap isu keselamatan", menyusuli beberapa kematian melibatkan anggota Perkhidmatan Negara (NS).

Dalam catatan di laman Facebooknya pada Jumaat (15 Feb), yang juga merupakan komen pertama beliau berhubung kematian-kematian itu, PM Lee berkata insiden-insiden yang berlaku baru-baru ini "amat menyedihkan hati kerana ia melibatkan korban nyawa".

"Saya tahu betapa memilukan kejadian ini bagi kita semua, terutama kepada ahli keluarga. Apabila ia melibatkan personaliti terkenal seperti Korporal (Kelas Pertama) Aloysius Pang, maka kesan emosinya lebih hebat dan pemergiannya lebih sukar untuk diterima," tulis beliau.

PM Lee berkata SAF amat menitikberatkan keselamatan pada latihannya dan sifar kematian menjadi sasaran angkatan bersenjata itu.

"Selepas setiap insiden, kami memastikan pihak yang cedera mendapatkan rawatan dan jagaan perubatan yang terbaik. Apabila seorang askar meninggal dunia, SAF turut bersedih. Rakan-rakan sejawatannya memahami perasaan ahli keluarga mendiang, kerana mereka turut berduka atas pemergiannya. Namun mereka cuba mengetepikan emosi mereka untuk menjaga keluarga yang sedang berduka dan terus menggalas tugas dan tanggungjawab mereka dalam SAF," tambah beliau.

Pada masa yang sama, PM Lee turut menegaskan bahawa SAF akan menyiasat insiden dan mengenal pasti puncanya. Proses-proses dan prosedur latihan SAF akan dipertingkat supaya insiden-insiden sedemikian tidak akan berulang, tambah beliau.

"Kita tahu sifar kematian sangat sukar untuk dicapai. Namun kita akan terus berusaha kerana setiap nyawa amat berharga," katanya.

PM Lee berkata luahan beliau ini adalah berdasarkan pengalaman beliau sendiri, sebagai seorang komander unit dan semasa berkhidmat sebagai Kakitangan Turus Am.

Sebagai seorang komander, PM Lee berkata beliau bertanggungjawab ke atas latihan, keselamatan dan kesejahteraan askar-askar di bawah jagaannya: "Dalam erti kata lain, saya seakan-akan menggantikan ibu bapa mereka."

Semasa berkidmat sebagai Kakitangan Turus Am, PM Lee perlu menangani insiden-insiden membabitkan latihan, membuat keputusan untuk memperbaiki keadaan, sama ada untuk menghukum dan juga sama ada sesuatu latihan perlu diteruskan atau dihentikan sama sekali.

"Saya perlu bertanggungjawab terhadap keluarga yang sedang berduka dan berfikir dengan teliti bagaimana untuk menjaga keselamatan para askar dan anggota Perkhidmatan Negara sambil memastikan misi SAF tercapai," tambah beliau lagi.

Sebagai Perdana Menteri, PM Lee berkata beliau memastikan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mempunyai barisan pemimpin yang berkebolehan dan apabila kemalangan laithan berlaku, Pemerintah dipertanggungjawabkan bukan sahaja kepada keluarga malah kepada semua anggota NSmen dan masyarakat umum.

"Ini amat penting bagi SAF dan Perkhidmatan Negara untuk mengekalkan keyakinan dan sokongan awam.

"Saya memberi jaminan kepada anda bahawa saya dan barisan pemimpin SAF amat memandang serius terhadap isu keselamatan. Begitu juga hakikatnya semasa saya berkhidmat dalam SAF, dan saya yakin ia semakin diberi perhatian dan dititikberatkan sekarang," kata PM Lee.

Dalam catatannya, Perdana Menteri juga akur bahawa keselamatan para askar dalam keadaan bahaya semasa perang, namun Singapura perlu memastikan agar keselamatan mereka tidak terancam sewaktu menjalani latihan pada masa aman.

PM Lee menambah SAF perlu meneruskan latihan dan memenuhi tanggungjawab operasinya.

"Kita tidak boleh menyerahkan keselamatan dan pertahanan kita kepada pihak lain; kita perlu mempertahankan Singapura. Dengan SAF yang kuat dan terlatih, Singapura menikmati keamanan dan kedamaian dan dapat mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara lain.

"Saya berterima kasih kepada rakyat Singapura kerana menyokong SAF dan Perkhidmatan Negara. Sokongan anda membolehkan kita untuk membina SAF yang kuat dan profesional, dengan keupayaan bertempur yang komprehensif serta askar yang lengkap peralatannya, terlatih dan bermotivasi.

"Jadi apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, saya berharap anda dapat melihatnya dari perspektif yang betul. Kita tidak akan meremehkan kelemahan dan kegagalan kita. Kita juga tidak boleh melupakan kemajuan dan pencapaian SAF serta sumbangannya kepada keamanan dan keselamatan Singapura," kata beliau.

PM Lee mengeluarkan komen tersebut selepas empat anggota NS maut dalam insiden-insiden berkaitan dengan latihan sepanjang tempoh 18 bulan. 

Sumber : CNA/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan