PM Lee bertemu ketua eksekutif Hong Kong Carrie Lam di Davos
Perdana Menteri Lee Hsien Loong bertemu dengan Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam di luar mesyuarat Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada Selasa (21 Jan).

(Gambar: Pejabat Perdana Menteri)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong bertemu dengan Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam di luar mesyuarat Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada Selasa (21 Jan).
Kedua-dua pemimpin saling mengesahkan hubungan rapat dan muhibah antara Singapura dan Hong Kong.
Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan sejagat, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Encik Lee turut melahirkan keyakinan bahawa Hong Kong akan dapat mengatasi cabaran-cabaran semasa dan menemui huraian di bawah rangka kerja "Satu Negara, Dua Sistem".
Hong Kong dibelenggu pergolakan selama lebih tujuh bulan yang tercetus akibat Rang Undang-Undang Ekstradisi yang kini sudah ditarik balik. Pergolakan yang melanda menjejas keyakinan pelabur terhadap hab kewangan itu.
Cik Lam turut berada di sidang Switzerland itu untuk bertemu para pemimpin perniagaan dan tokoh politik dunia dan beliau diiringi oleh setiausaha perdagangan Hong Kong, para pegawai kanan bursa saham, penguasa lapangan terbang, MTR Corp dan ketua Swire Group.
Encik Lee pula diiringi oleh Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran.
Beliau akan berucap di satu sesi dialog berjudul "A Conversation with Lee Hsien Loong, Prime Minister of Singapore" ("Perbincangan Bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong") dan akan bertemu dengan para pemimpin politik dan perniagaan di luar mesyuarat-mesyuarat WEF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.