Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee bersikap optimis tentang ekonomi SG; beri bayangan lebih banyak sokongan bagi ibu bapa

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Feb 2024 05:21PM Dikemas Kini : 09 Feb 2024 10:45PM
SINGAPURA: Meskipun dalam keadaan tidak menentu sebegini, ekonomi Singapura dijangka menjadi lebih kukuh tahun ini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian pada Jumaat (9 Feb).

Sekalipun pertumbuhan tahun lalu tidak setinggi yang diinginkan oleh pemerintah, 2023 bagaimanapun merupakan tahun yang "stabil" di mana Singapura dapat mengelakkan kemelesetan.

Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 1.2 peratus pada 2023, turun daripada pertumbuhan 3.6 peratus pada 2022. Sementara itu, inflasi teras mencatat purata 4.2 peratus pada 2023, lebih tinggi daripada 4.1 peratus pada 2022.

"Kami tidak pasti bagaimana ia (2024) akan berubah kerana ia bergantung pada Amerika, sama ada mereka berjaya meredakan inflasinya atau tidak dan mengelakkan kemelesetan. Ia bergantung pada apa yang berlaku di China, sama ada ekonomi itu dihidupkan semula dengan kukuh atau tidak. Ia juga bergantung pada industri elektronik, yang menunjukkan tanda-tanda akan bangkit semula dan kami mengalaminya," kata PM Lee.

"Namun setakat ini, daripada apa yang kami boleh katakan, nampaknya tahun ini sepatutnya lebih kukuh daripada tahun lalu. Dan dari sudut pandangan rakyat Singapura, syarikat-syarikat, dan tentu saja, pemerintah, kita harus gembira dengan itu."

PM Lee berkata demikian kepada para wartawan selepas mengunjungi Hospital Ng Teng Fong untuk memberi penghargaan kepada para pekerja jagaan kesihatan di sana menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam ucapan rasminya sempena Tahun Baharu Cina, yang mungkin merupakan yang terakhir baginya, PM Lee menyeru rakyat Singapura supaya mempunyai lebih banyak anak, memandangkan kebanyakan keluarga Cina menganggap anak yang dilahirkan dalam Tahun Naga sebagai "sangat bertuah".
Kadar kesuburan keseluruhan penduduk Singapura mencecah paras paling rendah sebanyak 1.04 pada 2022, menjunam di bawah rekod sebelumnya iaitu 1.1 pada 2020 dan angka 1.12 pada 2021.

PM Lee memberi bayangan bahawa lebih banyak sokongan pemerintah boleh dijangkakan bagi keluarga yang ingin mempunyai anak.

Beliau berkata bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemerintah telah mencapai beberapa kemajuan dalam menyokong pasangan muda dari segi prasekolah, pengaturan kerja fleksibel, bonus bayi dan cuti keluarga.

"Kami mempunyai beberapa idea untuk melakukan lebih banyak lagi berhubung hal ini. Saya rasa Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dan pasukannya telah bekerja keras mengenainya. Kami telah membincangkan beberapa idea ini - saya fikir saya harus meninggalkannya kepada (Encik Wong) untuk mengumumkan berita baik itu," ujar Encik Lee.

Encik Wong, yang merupakan Menteri Kewangan, akan menyampaikan kenyataan Belanjawan 2024 dalam masa seminggu lagi, pada 16 Feb.

"Tahun naga biasanya adalah berita baik, jadi saya berharap kemungkinan mempunyai bayi naga akan menggalak lebih ramai pasangan untuk mencubanya," tambah Encik Lee.

"Anda tidak akan menyesal."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan