PM Lee bakal sampaikan kenyataan menteri di parlimen berhubung siasatan ke atas Iswaran dan hubungan sulit AP
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menyampaikan kenyataan menteri di parlimen pada Rabu (2 Ogos) berhubung siasatan rasuah melibatkan Menteri Pengangkutan S Iswaran, dan peletakan jawatan dua anggota Parlimen parti pemerintah akibat hubungan sulit.
Encik Iswaran diberkas oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 11 Julai lalu. Beliau dibebaskan atas ikat jamin dan telah mengambil cuti ketidakhadiran.
Kurang seminggu kemudian, mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Anggota Parlimen (AP) Cheng Li Hui meletak jawatan daripada parlimen dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 17 Julai selepas ia didedahkan bahawa pasangan tersebut telah menjalinkan hubungan sulit.
Sebilangan AP pemerintah dan pembangkang telah memfailkan soalan kepada Perdana Menteri berhubung siasatan CPIB itu.
AP Tan Wu Meng (PAP-Jurong) bertanya tentang garis masa siasatan dan mengenai jurang masa antara Perdana Menteri memberikan persetujuannya untuk pembukaan siasatan rasmi pada 6 Julai, dengan permulaan siasatan sebenar pada 11 Julai.
Dr Tan merupakan salah satu daripada beberapa AP PAP dan pembangkang Parti Pekerja (WP) yang mengajukan soalan mengenai masa pengumuman yang dibuat berkaitan dengan siasatan tersebut, dan mengapa penahanan Encik Iswaran tidak diumumkan kepada awam dengan segera.
AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) juga bertanya mengenai jenis siasatan CPIB, yang memerlukan persetujuan Perdana Menteri.
AP Louis Chua (WP-Sengkang) juga memfailkan soalan yang serupa mengenai tanggungjawab CPIB, dan bertanya jika terdapat keadaan di mana Perdana Menteri tidak memberi kebenaran kepada CPIB untuk menyiasat sesuatu perkara.
Soalan juga telah dikemukakan mengenai Formula One dan perbicaraan di United Kingdom yang melibatkan mantan CEOnya Bernie Ecclestone, yang disyaki gagal untuk mengisytiharkan aset sekitar S$650 juta dalam akaun bank Singapura.
Siasatan CPIB ke atas Encik Iswaran juga melibatkan hartawan Ong Beng Seng, yang dikenali ramai sebagai sosok yang bertanggungjawab membawa perlumbaan F1 ke Singapura.
Perkara-perkara lain yang akan dibincangkan di parlimen pada Rabu termasuk pengangkutan pekerja dalam lori, kerugian MAS dalam tahun kewangan yang lalu dan laporan Pejabat Ketua Audit Negara mengenai agensi awam di Singapura untuk tahun kewangan yang lalu.
Dalam urusan parlimen yang lain, para NCMP PSP juga telah memfailkan usul mengenai keperluan melantik seorang Speaker Parlimen yang bebas dan saksama.
AP Seah Kian Peng (PAP-Marine Parade), pula akan dicalonkan sebagai Speaker Parlimen yang baharu.
Sidang tersebut, yang mempunyai jadual yang padat, juga akan menyaksikan upacara mengangkat sumpah lapan AP Dilantik (NMP) baharu, di samping NMP Raj Joshua Thomas yang akan berkhidmat untuk penggal kedua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.