Skip to main content

Singapura

PM Lee: Anggota ASEAN akan terus bina dan kukuhkan rantau ini

Sidang Puncak ASEAN ke-33 sampai kemuncaknya selepas mesyuarat dan perbincangan sejak beberapa hari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Nov 2018 07:03PM Dikemas Kini : 15 Nov 2018 09:21PM

SINGAPURA: Sidang Puncak ASEAN ke-33 sampai kemuncaknya selepas mesyuarat dan perbincangan sejak beberapa hari lalu.

Dalam ucapan penutupnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata negara-negara anggota blok serantau sudah mencatat pencapaian yang besar tahun ini, di bawah kepimpinan Singapura sebagai pengerusi.

Namun, beliau menekankan masih banyak usaha yang perlu dilakukan.

"Ini hanyalah satu permulaan babak baru dan menarik bagi ASEAN. Kita akan terus membina dan mengukuhkan Masyarakat ASEAN. Kita mesti terus menegakkan rangka kerja ASEAN dan melibatkan rakan-rakan kongsi untuk memastikan rantau ini terbuka dan inklusif.

"Kita mesti mengekalkan integrasi ekonomi dan mengumpulkan bakat dan sumber untuk meningkatkan kehidupan rakyat kita. Dan walaupun ada kepentingan sendiri, kita mesti terus berfikir secara serantau dan melabur dalam modal politik bagi projek ASEAN," ujar PM Lee.

Thailand akan mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha mengucapkan tahniah kepada Singapura dan berkata Thailand akan giat meneruskan kemajuan yang telah dicapai.

Encik Prayut juga menyentuh tentang cabaran serantau, termasuk jenayah rentas negara dan gangguan teknologi.

Tambahnya, di tengah-tengah cabaran ini, penting bagi semua negara ASEAN untuk saling bekerjasama.

Menurut PM Lee, di bawah kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN, Singapura sudah membuat banyak pencapaian.

Antaranya, menangani cabaran perubahan iklim. Awal tahun ini, Singapura juga buat pertama kali mengadakan sebuah mesyuarat khas menteri bagi isu tersebut.

Selain itu, di tengah-tengah cabaran digital, Singapura juga menggalak keselamatan online yang lebih baik.

Bahkan, ia membiayai sebuah pusat yang bertujuan untuk membangunkan keupayaan siber semua negara anggota ASEAN.

Beberapa hari sebelum ini, ASEAN memeterai perjanjian perdagangan online yang pertama bermatlamat untuk memudahkan e-dagang rentas sempadan.

Singapura juga mencapai kemajuan dalam rundingan bagi perjanjian dagangan bebas Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP).

Perbincangan itu dijadual akan dimuktamadkan pada tahun depan.

Jika ia menjadi kenyataan, RCEP akan menjadi perjanjian dagangan bebas terbesar di dunia, merangkumi hampir sepertiga daripada pengeluaran global. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita