Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee akan sentuh cabaran ekonomi, pengalaman COVID-19 dalam NDR 2022

Perdana Menteri Lee Hsien Loong bakal berkongsi sebahagian rancangan akan datang Singapura kelak serta pengalamannya mengharungi COVID-19 semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) yang bersiaran secara langsung pada Ahad (21 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Aug 2022 04:12PM Dikemas Kini : 20 Aug 2022 10:53PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong bakal berkongsi sebahagian rancangan akan datang Singapura kelak serta pengalamannya mengharungi COVID-19 semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) yang bersiaran secara langsung pada Ahad (21 Ogos).

NDR dianggap sebagai ucapan politik paling penting setiap tahun dan kerap menyentuh tentang dasar-dasar atau pelan penting pemerintah.

Menurut Encik Lee, cabaran-cabaran ekonomi dan daya ketahanan sosial adalah antara topik yang akan diutarakan tahun ini.

Menurut Arkib Negara, NDR diadakan setiap tahun sejak 1996 kecuali pada 2020 apabila Encik Lee membuat ucapannya di Parlimen disebabkan oleh penularan COVID-19.

Dalam NDR tahun ini, Encik Lee dijangka akan menyentuh tentang isu-isu seperti persekitaran geopolitik yang mungkin membawa kesan ke atas Singapura.

Isu itu juga diketengahkan dalam Amanat Hari Kebangsaan beliau awal bulan ini.

Misalnya, bagaimana perang Ukraine memburukkan cabaran ekonomi yang sudahpun terjejas oleh pandemik COVID-19.

Encik Lee menambah pemerintah sedang mengusahakan apa yang perlu untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang meningkat.

Pemerintah juga bersedia berusaha lebih jika keadaan bertambah buruk.

Namun pucuk pangkalnya, Singapura mesti berubah dan kekal berdaya saing.
Selain cabaran mendesak, terdapat juga keutamaan jangka panjang pemerintah.

Awal bulan ini, Encik Lee turut menggesa orang ramai agar menyumbang idea kepada inisiatif 'Forward Singapore' atau Melakar Hala Tuju Singapura.

Inisiatif itu adalah untuk memperbaharui kontrak sosial dan melakar masa hadapan bersama. Ia dilancarkan tahun ini oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dan para pemimpin 4G.
Dalam NDR tahun lalu, Encik Lee mengumumkan langkah-langkah untuk membantu para pekerja bergaji rendah.

Beliau turut berkongsi bagaimana pemerintah mengkaji cara-cara untuk melindungi pekerja penghantaran dengan lebih baik serta menangani keprihatinan tentang kelemahan garisan pemisah perkauman dan masyarakat.

Dengan tahun 2022 diisytiharkan sebagai Tahun Meraikan Keluarga, semakan pemerintah tentang bagaimana undang-undang boleh melindungi perkahwinan juga mendapat tumpuan.

Malah awal minggu ini, DPM Wong ditanya dalam satu temu bual bersama Bloomberg tentang bila Seksyen 377A Kanun Jenayah, yang mendapati hubungan seks antara lelaki sebagai satu jenayah, akan dimansuhkan.

Encik Wong berkata perkara itu adalah untuk Singapura dan rakyatnya memutuskan.

Isu berkenaan, tambah beliau, mesti diuruskan dengan berhati-hati secara sensitif kerana ia melibatkan nilai dan norma sosial Singapura.

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada bulan lalu pula berkata pemerintah sedang menimbangkan langkah seterusnya bagi Seksyen 377A.
Sumber : CNA/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan