Skip to main content

Singapura

PM Lee adakan lawatan ke Johor meterai perjanjian zon ekonomi khas JB-SG, upacara Laluan RTS pada 11 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee adakan lawatan ke Johor meterai perjanjian zon ekonomi khas JB-SG, upacara Laluan RTS pada 11 Jan

(Gambar: AFP/How Hwee Young)

Diterbitkan : 10 Jan 2024 07:35PM Dikemas Kini : 10 Jan 2024 11:41PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan membuat lawatan rasmi ke Johor pada Khamis (11 Jan) untuk menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim juga akan menghadiri majlis untuk menandakan selesainya sebahagian projek Sistem Kereta Api Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Kedua-dua negara jiran itu sedang bekerjasama untuk memperbaiki ketersambungan dan meningkatkan peluang perniagaan.

Pada Oktober lalu, PM Lee berkata bahawa zon ekonomi khas Johor-Singapura yang dicadangkan akan memudahkan perjalanan bagi mereka yang bekerja di kedua-dua bahagian Koswe, yang merupakan di antara lintasan sempadan paling sibuk dunia.

Pegawai pemerintah kedua-dua negara sudah menjalankan kajian kebolehlaksanaan tentang zon ekonomi khas tersebut untuk menentukan minat dari pelabur dan permintaan pasaran.

Walau bagaimanapun, maklumat tentang operasinya terhad, termasuk lokasi zon ekonomi khas, sedang perbincangan diteruskan.

"JS-SEZ bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di daerah pembangunan Iskandar dengan menggunakan kekuatan kedua-dua negara dan memperbaiki aliran rentas sempadan dari segi barangan, pelaburan dan rakyat," tulis Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura dalam satu kenyataan media pada Rabu (10 Jan).

Ia menambah bahawa pemeteraian MOU itu akan berlangsung selepas majlis menyambut Laluan RTS, yang akan menandakan jejambat Laluan RTS yang menghubungi Singapura dan Malaysia selesai dibina.

"Ketika selesai dibina, Laluan RTS akan menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura, dengan kapasiti maksimum sehingga 10,000 penumpang setiap jam di kedua-dua arah," tambah PMO.

Laluan RTS dijangka memulakan khidmat penumpang pada akhir 2026.

PM Lee akan diiringi Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat, serta Menteri Negara Ehwal dalam Negeri dan Pembangunan Negara Faishal Ibrahim.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita