Skip to main content

Singapura

PM Lee: 2018 tahun memuaskan; semoga 2019 lebih bermakna

"Tahun 2018 adalah satu lagi tahun yang memuaskan." Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerusi catatan Facebook beliau hari ini (30 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee: 2018 tahun memuaskan; semoga 2019 lebih bermakna

Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar fail: Jason Quah/TODAY)

SINGAPURA: "Tahun 2018 adalah satu lagi tahun yang memuaskan." Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerusi catatan Facebook beliau hari ini (30 Dis).

Dalam catatan yang sama, PM Lee turut memuat naik satu video yang membutirkan antara pencapaian Singapura sepanjang tahun ini, yang cukup bermakna buat beliau.

Video itu mengajak rakyat Singapura supaya mengimbas kembali antara acara-acara penting dengan mengikuti satu garis masa.

Gambar fail bendera ASEAN dan bendera negara-negara anggota ASEAN. (Gambar: Remeo Gacad/AFP)

JAN 2018 

Video dimulakan dengan acara yang berlangsung pada Jan 2018 dengan Singapura mula mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN.

Singapura membawa ASEAN ke hadapan melalui dua idea sebagai tema iaitu "Berdaya Tahan dan Inovatif".

(Gambar: PAssion Chingay Club/Facebook)

(Gambar: PAssion Chingay Club/Facebook)

FEB 2018

Acara penting itu disusuli dengan perayaan Tahun Baru Cina. Orang ramai dihiburkan dengan Perarakan Chingay pada 23-24 Feb di mana terdapat acara-acara kebudayaan serta acara-acara berunsur fantasi yang disertai para peserta berbilang kaum.

Gambar: Elizabeth Neo

MAC 2018

Acara bermakna bagi PM Lee pada Mac 2018 pula adalah semasa beliau bertemu dengan rakyat Singapura di Sydney.

Beliau ketika itu berada di Australia sempena Retreat Pemimpin Singapura-Australia dan Sidang Khas ASEAN-Australia.

Penembak negara Martina Lindsay Veloso meraih pingat emas kedua bagi Singapura di Sukan Komanwel hari ini (12 Apr) selepas memenangi acara menembak 50 meter wanita. (Gambar: Team Singapore/Facebook)

(Gambar: Team Singapore/Facebook)

APR 2018

Bulan April juga tidak kurang bermakna bagi PM Lee dan Singapura. Pasukan atlit Singapura bertanding di Gold Coast dan berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang sembilan pingat, yang mana lima daripadanya adalah pingat emas.

Martina Veloso menang dua pingat emas dalam acara menembak. Tiga lagi pingat emas diraih menerusi sukan tenis meja.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya. (Gambar: MCI)

MEI 2018

Bulan Mei pula berperistiwa bagi Singapura dan Malaysia. PM Lee bertemu dengan Dr Mahathir buat pertama kali selepas Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh itu menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Pertemuan tersebut membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala Singapura dengan Malaysia.

Jabat tangan bersejarah antara Donald Trump dan Kim Jong Un (Gambar: AFP)

(Gambar: AFP)

JUN 2018

Pada Jun 2018, perhatian dunia tertumpu kepada Singapura. Sebabnya, negara kecil ini menjadi tempat dua negara seteru - Amerika Syarikat dan Korea Utara - berusaha untuk berdamai.

Menerusi sidang puncak Trump-Kim itu, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengesahkan 'komitmen teguhnya untuk melucutkan sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea'.

(Gambar: Feferberg/AFP)

JULAI 2018

PM Lee selanjutnya diundang menjadi tetamu terhormat Hari Bastille di Perancis pada Julai 2018.

Setiap tahun, Presiden Perancis mengundang pemimpin sesebuah negara untuk menyertai perbarisan besar-besaran di Champs Elysees, iaitu hari cuti kebangsaan negara tersebut. Acara Hari Bastille tahun ini menampilkan acara terbang lalu Perancis-Singapura.

PM Lee turut diundang sebagai tetamu terhormat di perbarisan Hari Bastille pada 14 Jul. Lawatan PM Lee juga bersempena Tahun Inovasi Perancis-Singapura.

PM Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan. (Gambar: TODAY/Jason Quah)

OGOS 2018

Pada Ogos 2018, PM Lee mengumumkan satu inisiatif bagi memastikan jagaan kesihatan kekal dimampui - iaitu menerusi Pakej Generasi Merdeka.

Butir-butir skim itu akan diumumkan tahun depan, tetapi ia akan merangkumi subsidi pesakit luar, tokokan Medisave, subsidi premium bagi skim insurans MediShield Hayat dan pembayaran bagi jagaan jangka panjang.

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen (tengah) menyaksikan pertunjukan udara di acara pratonton RSAF50 pada Selasa (7 Ogos). (Gambar: MINDEF)

SEP 2018

Singapura menyambut ulang tahun ke-50 Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pada Sep 2018.

Acara perbarisan tersebut terdiri daripada kontinjen seramai 500 kakitangan dan pertunjukan udara yang melibatkan 20 pesawat berlangsung sempena ulang tahun ke-50 RSAF.

PM Lee semasa di perbarisan tersebut mengatakan bahawa RSAF berjaya membuktikan kepada dunia bahawa ia siap beroperasi melalui sidang Trump-Kim.

EUSFTA ditandatangani antara Singapura dan EU (Gambar: Channel NewsAsia)

OKT 2018

Pada Okt 2018 pula, Singapura memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Singapura (EUSFTA). Perjanjian penting itu memansuhkan tarif dan memudahkan akses pasaran bagi perniagaan pelbagai sektor, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

Perjanjian itu ditandatangani PM Lee dengan Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker, Presiden Majlis Eropah Donald Tusk dan Canselor Austria Sebastian Kurz. Austria adalah presiden Majlis EU sekarang.

Para pemimpin di Sidang Puncak ASEAN-Jepun ke-21. (Gambar: MCI)

NOV 2018

Nov 2018 adalah bulan yang "sibuk" bagi Singapura yang menjadi tuan rumah Sidang ASEAN ke-33. 20 pemimpin negara melakukan lawatan rasmi ke Singapura.

Pelbagai isu dibincangkan sepanjang sidang itu, termasuk perang dagang antara Amerika dengan China.

PM Lee berada di ibu kota Argentina untuk menghadiri Sidang Puncak G20. (Gambar: Betty Chua/MCI)

DIS 2018

Jadual PM Lee juga padat pada Dis 2018. PM Lee melakukan lawatan ke ibu kota Argentina untuk menghadiri Sidang Puncak G20 yang bermula pada 30 Nov.

Singapura dan Argentina saling berikrar untuk memperteguhkan lagi komitmen bagi merangsang hubungan ekonomi, melalui beberapa perjanjian perdagangan. Hal itu diumumkan setelah PM Lee bertemu Presiden Argentina Mauricio Macri di Buenos Aires.

Perjanjian itu membolehkan syarikat-syarikat tempatan memperoleh akses yang lebih luas ke pasaran-pasaran Amerika Selatan.

Di akhir video itu, PM Lee turut menyelitkan harapannya: "Semoga 2019 lebih bermakna." 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita