Skip to main content

Singapura

PM Lawrence Wong akan ke Jepun untuk lawatan pengenalan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lawrence Wong akan ke Jepun untuk lawatan pengenalan
Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan ucapan di Pusat Budaya Universiti NUS pada 12 November 2025. (Gambar fail: CNA/Mak Jia Kee)
Diterbitkan : 16 Mar 2026 06:00PM Dikemas Kini : 16 Mar 2026 06:02PM
TOKYO: Perdana Menteri Lawrence Wong akan berada di Jepun untuk melakukan lawatan rasmi mulai Selasa (17 Mac) hingga Khamis (19 Mac).

Lawatan itu diadakan sedang kedua-dua negara memperingati 60 tahun hubungan diplomatik.

Ia juga sebahagian lawatan pengenalan PM Wong ke negara rakan kongsi utama di rantau ini.

Di Tokyo, PM Wong akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Sanae Takaichi dan menghadiri satu upacara menyambut kedatangannya.

PM Wong juga dijadualkan bertemu para pemimpin politik kanan dan perniagaan Jepun, serta menghadiri satu acara bertemu rakyat Singapura di Jepun.

Encik Wong akan diiringi oleh Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Tenaga Kerja merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga serta Sains dan Teknologi Dr Tan See Leng, Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Luar serta Dalam Negeri Sim Ann, Menteri Negara bagi Pembangunan Digital dan Kesihatan Rahayu Mahzam, dan Menteri Negara bagi Pertahanan Desmond Choo.

Sepanjang lawatannya, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong akan bertindak selaku pemangku perdana menteri.

Jepun merupakan sumber pelaburan langsung asing ketiga terbesar Singapura pada 2024, menjadikan Singapura destinasi pelaburan terbesar Jepun di Asia.

Sehingga Disember tahun lalu, lebih 5,300 syarikat Jepun didaftarkan di Singapura.

Singapura juga merupakan pelabur asing yang penting di Jepun, sebagai pelabur ketiga terbesar Jepun mengikut stok pelaburan langsung asing.

Lebih 620,000 pelawat dari Jepun melancong ke Singapura pada 2025, manakala 720,000 pelawat dari Singapura melancong ke Jepun.

Kedua-dua negara sudah berinteraksi dalam pelbagai bidang, termasuk dalam pertahanan dan latihan sektor awam.

Cik Sim berkata awal bulan ini bahawa Singapura bersedia untuk membuka lembaran baharu dalam hubungannya dengan Jepun. Kedua-dua negara sedang berusaha mengukuhkan kerjasama dalam bidang termasuk ekonomi digital, peralihan hijau dan keselamatan, katanya.

Mereka menandatangani rangka kerja pada Ahad untuk memajukan kerjasama dalam sektor tenaga.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita