PM Anwar Ibrahim tiba di SG dalam rangka lawatan rasmi sehari

(Gambar: Anwar Ibrahim/Twitter)
SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sudah tiba di Singapura pada Isnin (30 Jan) dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini.
Encik Anwar diiringi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk lawatan rasmi ketiga beliau ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana menteri.
Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri mendarat di Lapangan Terbang Changi pada pukul 9.30 pagi.
Ketibaan beliau disambut Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
Turut hadir ialah Menteri Luar Malaysia, Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Jadual padat menanti Encik Anwar dalam rangka lawatan sehari itu bermula dengan sambutan rasmi yang diadakan di Istana.
Beliau akan membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang juga akan menganjurkan majlis jamuan tengah hari rasmi.
Selepas itu, kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian sebelum Encik Anwar meninggalkan Istana untuk bertemu dengan warga Malaysia yang menetap di negara ini.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Encik Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri.
Delegasi Malaysia juga terdiri daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta para pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.
Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.