Skip to main content

Singapura

Platform online baharu bolehkan pemilik rumah senarai hartanah sebagai kediaman kecemasan semasa krisis negara

Anggaran Waktu Membaca:
Platform online baharu bolehkan pemilik rumah senarai hartanah sebagai kediaman kecemasan semasa krisis negara

Gambar: CNA/Jeremy Long

Diterbitkan : 08 Mar 2024 10:39PM Dikemas Kini : 09 Mar 2024 12:01AM
SINGAPURA: Sebuah portal krisis akan dibangunkan untuk memudahkan penggunaan kemudahan kediaman sebagai tempat perlindungan kecemasan sekiranya berlaku krisis negara.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan MOGUL.sg menyatakan dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat (8 Mac) bahawa Memorandum Persefahaman (MOU) sudah dimeterai untuk menggunakan platform penempahan syarikat hartanah itu bagi tujuan tersebut.

Portal krisis itu akan membenarkan pemilik rumah yang ingin "memainkan peranan aktif" dalam membantu masyarakat ketika krisis negara, dengan menyenaraikan rumah mereka dan "menawarkannya kepada mereka yang terjejas serta memerlukan tempat untuk berlindung".

"Individu yang memerlukan tempat berlindung ketika krisis negara boleh mengakses portal tersebut untuk melihat hartanah yang tersedia serta terma dan syarat yang menjelaskan tempoh penginapan, kesesuaian bagi keluarga atau haiwan peliharaan, dan syarat-syarat berkaitan lain," tulis MND dan MOGUL.sg.

Kerjasama awam-privet itu, yang pertama seumpamanya di Singapura, meluaskan huraian penempatan kecemasan dengan menyertakan kediaman, selain hotel dan chalet pemerintah.

MND dan MOGUL.sg memetik pandemik COVID-19 sebagai contoh mengapa krisis portal itu diperlukan.

"Semasa berlakunya krisis COVID-19 apabila sempadan ditutup, segelintir warga Singapura tampil untuk menawarkan rumah mereka kepada warga Malaysia di Singapura yang memerlukan perumahan sementara.

"Begitu juga portal tersebut, di mana ia akan terbukti berguna dalam senario krisis sedemikian, yang akan mencetus keperluan mendesak bagi tempat perlindungan kecemasan."

DIAKTIFKAN HANYA KETIKA KRISIS NEGARA

Portal itu akan dibangunkan MOGUL.sg dan akan disepadukan ke dalam platformnya, dan hanya akan diaktifkan semasa krisis negara.

Sebagai sebahagian daripada MOU tersebut, MOGUL.sg akan menyerap semua kos operasi berkaitan dengan portal, termasuk penambahbaikan sistem dan pemeriksaan bagi penyelenggaraan, untuk memastikan kesediaan portal itu sekiranya berlaku krisis.

Portal hartanah itu juga akan meningkatkan kesedaran tentang insiatif berpandukan masyarakat dengan mempromosikannya kepada pelanggannya. Proses pengesahan kelayakan dan rangka kerja undang-undang akan disertakan untuk melindungi pengguna.

MND menambah bahawa inisiatif tersebut "membuktikan" komitmennya untuk bersedia bertindak semasa berlakunya krisis, dengan mewujudkan kerjasama dengan syarikat dan masyarakat.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita