Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Platform ganjaran baru disokong Temasek bantu jimat berbelanja

Anggaran Waktu Membaca:
01:04 Min
Lebih 1,000 peruncit menyertai platform yuu Rewards Club termasuk rangkaian pasar raya besar, tempat-tempat daya tarikan dan kedai-kedai makan.
Diterbitkan : 26 Oct 2022 07:03PM Dikemas Kini : 27 Oct 2022 01:56PM
SINGAPURA: Satu usaha niaga teknologi yang disokong Temasek akan melancarkan skim ganjaran baru pada Khamis (27 Okt).

Dengan adanya platform yuu Rewards Club itu pelanggan di Singapura boleh menggunakan hanya satu aplikasi untuk menebus mata ganjaran bagi perbelanjaan harian mereka di Cold Storage, Giant, Guardian, Singtel dan pusat Makanan dan Minuman (F&B) BreadTalk Group.

Platform percuma itu yang dihasilkan minden.ai, sebuah usaha sama teknologi yang ditubuhkan dan disokong Temasek.

Kumpulan runcit DFI yang memiliki jenama seperti Cold Storage, Giant dan CS Fresh serta Guardian dan 7-Eleven juga mempunyai taruhan dalam usaha tersebut.

Mereka yang mahu mendapatkan mata ganjaran yuu Rewards Club semasa membeli belah di lebih 1,000 kedai runcit yang menyertainya perlu mendaftar, menurut minden.ai dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Mata ganjaran yang diperolehi boleh digunakan bagi membayar bil atau mendapatkan produk dan perkhidmatan dari jenama-jenama yang turut serta.

Tiada had dikenakan pada jumlah mata ganjaran yuu yang dikumpulkan.

"yuu Rewards Club memberi pengguna lebih banyak pilihan, kemudahan dan fleksibiliti supaya kami boleh memberi ganjaran kepada mereka untuk perbelanjaan harian mereka," kata CEO minden.ai Sng Ren Yeong.

"Kami berharap untuk membolehkan pengguna mengumpul dan mendapatkan mata ganjaran semasa mereka berbelanja serta menebusnya di semua rangkaian ini" tambah beliau.

Menurut tinjauan terhadap 1,000 penduduk di Singapura, 60 peratus penduduk kerap mencari dan ingin menyertai program mata ganjaran untuk menjimatkan wang, menurut minden.ai dalam kenyataan medianya.

Tinjauan itu turut mendedahkan bahawa 72 peratus responden ingin berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka dengan dua pertiga responden kalu boleh mahu menebus mata ganjaran bagi perbelanjaan harian mereka.

Platform yuu juga boleh digunakan di taman Mandai Wildlife Reserve - Taman Haiwan Singapura, Night Safari, River Wonders dan Taman Burung Jurong (JBP).

Terdapat juga tawaran khusus bagi setiap jenama.

Sebagai contoh, jika pelanggan menggunakan platform yuu di Giant, mereka boleh mendapat tawaran seperti dua kali ganda mata ganjaran yuu bagi barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan segar, produk cuci pakaian, beras, susu dan tiga kali ganda mata yuu pada barangan jenama Meadows.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak rakan niaga untuk turut serta. Kini ada beberapa jenama pilihan penduduk Singapura," kata Encik Sng.

Untuk mula mendapatkan mata yuu, pengguna harus memuat turun aplikasi yuu yang tersedia di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Store.

Selepas pengguna mendaftar akaun yuu mereka, mereka akan diberikan ID unik.

Sebelum membuat bayaran di kedai-kedai yang tersenarai, pengguna harus mengimbas kod QR atau kod bar unik mereka.

Pengguna kemudian boleh melihat baki mata ganjaran yuu dalam aplikasi dan menggunakannya untuk membuat bayaran atau menebus ganjaran.

minden.ai juga bekerjasama dengan DBS dan Kad PAssion di platform berkenaan.

Sehubungan itu, DBS akan melancarkan kad kredit DBS yuu yang baru pada Khamis (27 Okt) dan pengguna boleh mendapatkan 30 kali lebih banyak mata ketika berbelanja dan membuat bayaran menggunakan kad tersebut di kedai-kedai yang mengambil bahagian.

Mereka yang ada kad PAssion atau kad debit POSB PAssion juga boleh kaitkan kad mereka di dalam platform tersebut dan dapatkan mata ganjaran yuu.

Pengguna juga boleh memilih untuk mendermakan mata ganjaran yang terkumpul kepada projek amal dan masyarakat seperti PAssion CARES menerusi app yuu, kata minden.ai.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa