Platform e-dagang ambil langkah proaktif lindung pemilik hak cipta, bendung penjualan produk tiruan
Jika anda sedang mencari-cari tawaran terhebat sempena jualan 11.11 di platform e-dagang, berhati-hati untuk tidak menjadi mangsa kepada penipuan barangan tiruan.
SINGAPURA: Jika anda sedang mencari-cari tawaran terhebat sempena jualan 11.11 di platform e-dagang, berhati-hati untuk tidak menjadi mangsa kepada penipuan barangan tiruan.
Penjualan barangan tiruan semakin mudah dilakukan dengan para penjual terbabit berselindung di sebalik identiti misteri di wadah internet.
Demi menangani fenomena itu, platform e-dagang seperti Lazada mengambil langkah proaktif untuk melindungi para pemilik hak cipta dan perniagaan sekaligus membendung penjualan produk tiruan di platformnya.
LAIN YANG DIPESAN, LAIN PULA DITERIMA
Demikian yang berlaku kepada sebilangan pembeli online.
Mereka tertipu setelah si penjual memberi penerangan produk yang sama dengan yang asli tetapi dengan harga lebih murah.
Hakikatnya, penjualan barangan tiruan dan palsu kian berleluasa sedang platform e-dagang semakin meluas digunakan.
Menurut Persatuan Tanda Dagang Antarabangsa (INTA), kerugian akibat penjualan barangan palsu, boleh mencecah sehingga AS$1.9 trilion (S$2.6 trilion) menjelang 2022 dan ini termasuk kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terpaksa gulung tikar.
Malah INTA meramalkan pasaran perdagangan produk tiruan dijangka mencecah AS$2.8 trilion (S$3.7 trilion) pada 2022.
Trend ini membimbangkan para peniaga yang menjual barangan tulen mahupun pemilik hak cipta.
Bagi perusahaan yang baru hendak bertapak seperti White Magic yang menjual produk pembersihan, ini boleh menghambat kemajuan dan usaha penyelidikan dan pembangunan produk mereka.
Menurut Adrian Goh, pengurus White Magic Goh, penjualan produk-produk tiruan juga menjejas SME seperti mereka memandangkan ia menjejas perbelanjaan mereka dan pembangunan untuk mengeluarkan produk-produk berkualiti.
BANTU HAK CIPTA DIPELIHARA
Menyedari keluhan para peniaga seperti White Magic, Lazada memulakan inisitiaf untuk mengenal pasti barangan tiruan dan melindungi hak cipta para peniaga.
Satu Pasukan Risiko Perniagaan ditubuhkan bagi mengenal pasti barangan tiruan dan mengeluarkannya daripada senarai produk di platform mereka.
Penasihat guaman Lazada Singapore, Nur Anissa Castillo memberitahu BERITAmedicorp, "Sejak Pasukan Risiko Perniagaan di Lazada ditubuhkan pada bulan Mac 2019, kami telah menghapuskan sebilangan besar produk-produk yang terlarang di platform kami. 99 peratus produk-produk yang disyaki palsu telah dihapuskan dari platform sebelum penjualan dibuat"
Selain langkah proaktif itu, para peniaga juga boleh membuat aduan kepada Lazada sekiranya mereka mengesyaki barangan mereka diciplak.
Kata Cik Nur Anissa, "Kita ada Platform Hak Milik Intektual ataupun dikenali sebagai IPP platform di mana seseorang pemilik hak intelek itu boleh memfailkan notis untuk menghapuskan senarai yang mungkin melanggar hak intelek mereka"
RUANG KHUSUS BAGI PRODUK TULEN
Bagi memberi pembeli kepastian akan ketulenan barangan yang dibeli, Lazada juga membuka ruangan khusus dipanggil LazMall di mana para penjual perlu menghasilkan dokumen bagi membuktikan ketulenan produk ataupun sebagai penjual sah.
Sejak menyertai LazMall, penjualan White Magic misalnya, naik hingga 30 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.