Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Platform digital MUIS berkesan damping belia; komited tingkat profesionalisme asatizah tangani radikalisme: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Platform Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) - SalamSG TV dan MuslimSG mencapai jangkauan dan penglibatan yang besar termasuk para belia.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Shahira Abdullah, tentang bagaimana MUIS menggunakan platform digitalnya untuk menangani masalah belia yang menjadi radikal dalam talian serta jangkauan SalamSG TV dan MuslimSG.

Menurut Encik Masagos, SalamSG TV adalah sebuah saluran YouTube yang dibangunkan MUIS sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 2020.

Ia merupakan sebahagian daripada Gerakan SalamSG, iaitu sebuah gerakan seluruh negara oleh semua masjid di Singapura dengan tujuan menyebarkan kebaikan di dalam dan luar masyarakat Muslim.

MuslimSG pula sebuah platform media sehenti dalam talian yang menyediakan kandungan agama Islam yang disediakan MUIS.

"MUIS memanfaatkan SalamSG TV dan MuslimSG, serta bekerjasama dengan pempengaruh, atau 'influencer', untuk mempromosikan Islam dalam konteks arus perdana.

"Ini termasuk menyebarkan naratif yang positif dan tepat daripada segi agama serta bersesuaian dengan konteks menanam rasa tanggungjawab dalam jiwa remaja Muslim di Singapura supaya menolak kandungan agama yang tidak sesuai, memecahbelahkan dan eksklusif," kata beliau.

Kedua-dua wadah itu, tambah Encik Masagos, telah mencapai jangkauan dan penglibatan yang luas, termasuk golongan belia.

63.2 peratus penonton Facebook SalamSG TV, pada tahun 2022 merupakan golongan belia yang berumur antara 13 hingga 44 tahun dedah beliau.

Bagi MuslimSG pula, 70.9 peratus daripada pengikut Facebooknya pada tahun 2022 berumur antara 13 dengan 44 tahun.

BIMBINGAN ASATIZAH MENERUSI MYSAFESPACE.SG

Dr Shahira juga bertanya sama ada MUIS akan mempertimbangkan untuk menyokong mysafespace.sg.

Ia adalah sebuah portal sembang yang menghubungkan para pengguna kepada asatizah bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) untuk mendapatkan bimbingan agama yang diperibadikan dan tanpa nama.

Encik Masagos menjelaskan bahawa portal tersebut diasaskan sekumpulan asatizah, dan MUIS tidak terlibat secara langsung.

Bagaimanapun, kebanyakan asatizah di mysafespace.sg adalah anggota Rangkaian Belia Asatizah (AYN), yang ditubuhkan MUIS untuk mendampingi golongan belia Melayu/Islam melalui media sosial.

"MUIS menyokong AYN, dengan membiayai latihan dalam bidang seperti membangunkan naratif balas yang positif, menyusun kandungan digital, serta kemahiran kaunseling khusus bagi belia.

"MUIS akan terus menyokong pembangunan asatizah kami, supaya mereka dapat memberikan bimbingan agama kepada masyarakat, termasuk mendekati melalui cara yang berbeza dan inovatif seperti mysafespace.sg," kata Encik Masagos.

Beliau seterusnya berkata Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) telah dibentuk pada 2019 untuk membangunkan visi untuk asatizah masa depan.

Bagi mencapai visi itu. MUIS terus komited untuk meningkatkan tahap profesionalisme sektor asatizah, memperkukuh institusi agama Muslim, dan memupuk graduan agama yang memberi inspirasi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan