Skip to main content

Singapura

Platform baharu dikuasai AI bantu kesan ancaman penyakit dengan lebih cepat

Sebuah platform baharu dikuasai kecerdasan buatan (AI) dapat membantu pemerintah mengesan ancaman penyakit dengan lebih pantas dan memberikan panduan lebih jelas tentang cara bertindak balas.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Dec 2025 05:10PM Dikemas Kini : 12 Dec 2025 03:00PM
SINGAPURA: Sebuah platform baharu dikuasai kecerdasan buatan (AI) dapat membantu pemerintah mengesan ancaman penyakit dengan lebih pantas dan memberikan panduan lebih jelas tentang cara bertindak balas.

Diberi nama PathGen, ia dibangunkan oleh Inisiatif Genomik Patogen Asia (Asia Pathogen Genomics Initiative) yang diterajui di Singapura.

Alat itu juga membolehkan negara-negara saling bekerjasama tanpa melepaskan kawalan terhadap data kesihatan sendiri.

PathGen menggunakan AI untuk mengesan tanda-tanda awal wabak, dengan menganalisis maklumat daripada pelbagai sumber seperti ujian makmal, data pesakit, corak iklim dan aktiviti nyamuk.

Ia memberikan para pegawai kesihatan gambaran lebih jelas tentang di mana penyakit mungkin merebak dan tindakan yang perlu diambil, seperti menyesuaikan rawatan atau menghantar vaksin ke tempat-tempat yang betul.

"PathGen juga akan memanfaatkan AI bagi membantu pasukan-pasukan memahami tanda-tanda rumit ketika berlaku wabak dan menggunakan pemahaman mereka untuk menghasilkan panduan praktikal tepat pada masanya.

"Dengan melakukan demikian, ia memendekkan masa antara mengesan ancaman dengan mengambil tindakan berkesan dan semasa wabak, tempoh waktu dan hari yang dapat dijimatkan itu dapat bantu menyelamatkan nyawa," kata Pengarah Eksekutif dan CEO Yayasan Temasek, Ng Boon Heong.

Dalam satu sesi pratonton yang dianjurkan oleh Duke-NUS dan Yayasan Temasek, rakan kongsi dari lima negara Asia Tenggara berikrar untuk bersama-sama membangunkan alat tersebut demi manfaat awam bersama.

Tempoh percubaan bermula tahun depan, dengan pelaksanaan secara bertahap-tahap dirancang sepanjang 2027.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menekankan perkongsian pemerintah dengan sektor swasta amat berharga dalam persediaan bagi menghadapi pandemik.

"Malangnya, kewaspadaan terhadap pandemik semakin meluntur di seluruh dunia. Namun begitu, inisiatif seperti PathGen dapat bantu menanam dan memulihkan budaya kewaspadaan ini.

"Di Singapura, sama ada sektor awam, akademik atau swasta, kita mesti terus menyumbang kepakaran kita, memudahkan kerjasama serantau, serta bantu membina keupayaan dan sistem kecerdasan yang lebih menyiapkan kita untuk menghadapi ancaman pandemik pada masa hadapan," kata Encik Ong.
Sumber : CNA/AA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita