Planet Marikh paling terang sejak 2022 buat kemunculan di SG malam esok
Planet Marikh dijangka muncul di Singapura pada Khamis (16 Jan), lebih terang dan lebih mudah kelihatan berbanding tahun-tahun lain - asalkan langit pada waktu itu nanti tidak berawan.
(Gambar: AP/Agensi Luar Angkasa)
Peristiwa itu, yang dipanggil 'Mars in opposition' atau Marikh dalam kedudukan bertentangan, berlaku apabila Bumi secara langsung melalui antara Marikh dengan matahari.
Pada waktu ini, Marikh akan berada pada jarak paling dekat dengan Bumi tahun ini dan diterangi sepenuhnya oleh matahari, menurut The Observatory di Pusat Sains Singapura.
Kali terakhir planet Marikh berada dalam kedudukan bertentangah sedemikian adalah pada 8 Disember 2022, dan yang seterusnya adalah pada 19 Februari 2027, disusuli oleh 25 Mac 2029.
BILA KITA BOLEH LIHAT MARIKH?
Marikh akan mula terbit sekitar pukul 7.30 malam pada 16 Januari, menurut The Observatory, sambil menambah bahawa ia akan berada pada ketinggian yang mudah dilihat sekitar pukul 8.30 malam dan ke atas atau apabila langit gelap.
Ia kemudian sampai ke ketinggian kemuncak di langit sekitar pukul 1.00 pagi, 17 Januari.
DI MANA TEMPAT TERBAIK UNTUK LIHAT MARIKH?
Menurut The Observatory Marikh dalam kedudukan bertentangan dengan Bumi dan Matahari itu boleh dilihat dengan mudah di mana-mana sahaja di Singapura asalkan langit tidak berawan.
Sekalipun demikian, untuk dapat melihat Marikh tanpa terhadang, anda dinasihatkan melawat tempat-tempat terbuka seperti Marina Barrage, Taman East Coast dan Southern Ridges.
Marikh akan dapat dilihat dengan mata kasar, dengan planet itu dijangka kelihatan seperti "bintang kemerah-merahan".
"Semasa dalam kedudukan bertentangan itu, Marikh berada paling dekat dengan Bumi, menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terang," menurut The Observatory.
Namun, penggunaan teleskop akan membantu anda melihat dengan lebih jelas butiran pada permukaan planet tersebut, tambahnya.
Kemunculan Marikh mungkin berbeza-beza bergantung kepada keadaan dalam atmosfera, langit yang tidak berawan dan lokasi tertentu di mana anda berada.
Meskipun Balai Cerap Pusat Sains (SCOB) tidak akan mengadakan sesi melihat planet itu, ia menyatakan Marikh tetap boleh dilihat semasa pertunjukan secara langsung 'Stargazing and Digital Planetarium' pada Jumaat jika langit tidak berawan.
Tiket-tiket bagi pertunjukan secara langsung itu boleh dibeli online.
BERAPA KERAP MARIKH BERADA PADA KEDUDUKAN BERTENTANGAN?
Ia berlaku kira-kira dua tahun sekali kerana Marikh mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan pusingan mengelilingi matahari.
"Memandangkan Bumi mengelilingi matahari dalam masa setahun, kedua-dua planet berada dalam kedudukan bertentangan setiap dua tahun sekali, membawa Marikh dekat dengan Bumi," menurut The Observatory.
Jika anda terlepas menyaksikan Marikh kali ini, anda boleh menantikan peristiwa lain yang akan datang seperti pancuran tahi bintang Eta Aquarids yang biasanya berlaku dalam bulan Mei dan gerhana bulan penuh pada September.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.