Skip to main content

Singapura

Piyush Gupta akan ambil alih jawatan pengerusi Keppel mulai 17 Apr

Timbalan Pengerusi Keppel Piyush Gupta akan menggantikan Pengerusi Keppel yang akan bersara, Danny Teoh pada 17 April, menurut syarikat itu pada Khamis (5 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
Piyush Gupta akan ambil alih jawatan pengerusi Keppel mulai 17 Apr

Piyush Gupta akan dilantik sebagai pengerusi Keppel mulai 17 April 2026. (Gambar: Keppel)

SINGAPURA: Timbalan Pengerusi Keppel Piyush Gupta akan menggantikan Pengerusi Keppel yang akan bersara, Danny Teoh pada 17 April, menurut syarikat itu pada Khamis (5 Feb).

Encik Teoh akan bersara sebagai pengerusi Keppel sebaik sahaja selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu pada 17 April dan Encik Gupta akan dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif dan pengarah bebas pada hari yang sama.

Encik Gupta menggalas peranan sebagai timbalan pengerusi Keppel dan pengarah bebas bukan eksekutif lembaga tersebut sejak Julai 2025.

Beliau juga merupakan sebahagian daripada jawatankuasa pencalonan, imbuhan dan kemampanan serta jawatankuasa keselamatan lembaga tersebut, dan akan terus menggalas peranan-peranan tersebut.

Encik Teoh, 70 tahun, berkhidmat sebagai pengarah Keppel selama lebih 15 tahun dan merupakan pengarah syarikat itu sejak April 2021.

Keppel turut menarik perhatian bahawa Encik Teoh mempengerusikan lembaga pengarah syarikat itu semasa "fasa yang menarik dalam sejarahnya, ketika syarikat itu melupuskan perniagaan luar pesisir dan marinnya dan berubah daripada sebuah konglomerat perindustrian kepada pengurus dan pengendali aset global, dengan tumpuan kepada infrastruktur, hartanah dan ketersambungan".

Harga saham Keppel juga meningkat lebih tiga kali ganda sepanjang penggal Encik Teoh selama lima tahun sebagai pengerusi, menurut syarikat itu.

Encik Gupta juga meluahkan penghargaan kepada Encik Teoh atas kepimpinannya dan "sumbangan tidak ternilai" kepada Keppel.

"Saya mengalu-alukan kerjasama rapat dengan lembaga dan pengurusan syarikat bagi terus memacu kisah pertumbuhan Keppel sedang ia membentuk semula kedudukannya sebagai pengurus aset global dengan keupayaan operasi yang kukuh."

Berhubung penggantinya, Encik Teoh berkata: "Piyush adalah seorang pemimpin perniagaan yang sangat dihormati dan saya sangat yakin di bawah kepengerusiannya, Keppel akan terus berkembang dan meraih pencapaian baharu."

"Ia satu pengalaman yang menarik sepanjang 15 tahun lalu, kerana Keppel mengharungi kemelesetan dalam sektor luar pesisir dan marin serta pandemik COVID-19, dan melepaskan struktur konglomeratnya untuk menjadi pengurus dan pengendali aset global."

CEO dan Pengarah Eksekutif Keppel Loh Chin Hua menambah, Encik Gupta telah menawarkan "nasihat berharga" dalam "pengukuhan dan pelaksanaan" strategi Keppel sejak menyertai lembaga pengarah Keppel.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita