Skip to main content

Singapura

Pintu platform jatuh ke landasan stesen MRT Braddell; kelengahan di Laluan Utara-Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
Pintu platform jatuh ke landasan stesen MRT Braddell; kelengahan di Laluan Utara-Selatan

Penumpang di stesen MRT Braddell pada 16 April 2025. (Gambar: Facebook/SMRT)

SINGAPURA: Para penumpang yang melakukan perjalanan di Laluan Utara-Selatan sekitar waktu tengah hari pada Rabu (16 Apr) dinasihatkan supaya menambah 15 minit kepada masa perjalanan mereka.

Ini selepas pintu skrin platform di stesen MRT Braddell jatuh ke landasan MRT.

Pintu tersebut jatuh ke landasan bagi laluan menghala ke utara sekitar pukul 11.15 pagi, menurut SMRT dalam catatannya di laman Facebook pada Rabu.

Ia menambah bahawa pihaknya sudah mengepung platform terjejas sebagai langkah keselamatan.

"Kakitangan kami memberi respons segera di tempat kejadian, dan tenaga kuasa di landasan dimatikan bagi memudahkan usaha-usaha pemulihan."

Meskipun khidmat MRT masih beroperasi bagi kedua-dua arah di Laluan Utara-Selatan, para penumpang diminta menambah 15 minit kepada masa perjalanan mereka.

Khidmat MRT ulang-alik juga disediakan antara Bishan dengan Toa Payoh bagi kedua-dua arah.

Sebagai tambahan, khidmat bas biasa juga disediakan secara percuma antara Toa Payoh dengan Bishan menghala ke Jurong East.

Dalam kemas kini pada 12.40 tengah hari, SMRT menyatakan khidmat MRT biasa sudah disambung semula dan khidmat bas percuma dihentikan, selepas kakitangan dan juruteranya menghuraikan isu berkenaan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita