Pinjaman e-buku di perpustakaan NLB naik lebih 110% kepada 3.3 juta
NLB mendedahkan, peminjaman bahan bacaan buku elektronik, atau e-buku, dari perpustakaan-perpustakaan kendaliannya, meningkat lebih 100% tahun lalu berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, pihak kami difahamkan tidak ramai dalam kalangan para pembaca Melayu yang meminjam e-buku.
BERITAmediacorp: Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mendedahkan, peminjaman bahan bacaan buku elektronik, atau e-buku, dari perpustakaan-perpustakaan kendaliannya, meningkat lebih 100% tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pihak kami difahamkan tidak ramai dalam kalangan para pembaca Melayu yang meminjam e-buku.
Semasa menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, NLB menyatakan bahawa 1.55 juta pinjaman e-buku dilakukan para pengguna pada tahun 2017.
Jumlah itu kemudian naik 113% kepada 3.3 juta pinjaman pada tahun 2018 - suatu kenaikan amat ketara.
Sungguhpun demikian kami diberitahu bahawa bilangan pembaca Melayu yang meminjam e-buku Melayu nampaknya tidak ramai. NLB enggan mendedahkan perangkaannya.
Namun bersedia berkongsi bahawa dari 2016 hingga 2018, terdapat hanya 10 peratus penambahan sahaja terhadap e-buku Melayu bagi NLB - atau hanya 3,000 bahan bacaan Melayu e-buku.
60 peratus daripada peminjam Melayu pula terdiri daripada golongan belia berusia antara 20-29 tahun yang lebih cenderung membaca 'buku cinta'.
KURANG SEDAR TENTANG MUDAHNYA E-BUKU
Menurut NLB, kurangnya kesedaran tentang e-buku menjadi salah satu sebab kurangnya sambutan dalam kalangan pembaca Melayu.
"Mungkin (satu) faktor, mereka kurang tahu bahawa akses (e-buku) ini amat mudah. Pasal mungkin dalam jangka dua tiga tahun lepas, aksesnya tidak mudah - aksesnya menggunakan komputer dan sebagainya. Tapi sekarang boleh menggunakan telefon bimbit dan juga apa-apa peralatan mudah alih yang kita gunakan," kongsi Ketua Bahasa Melayu, Kandungan & Perkhidmatan NLB Zubaidah Mohsen.
Lantaran itu, tambah Cik Zubaidah, pihak NLB akan terus berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kemudahan akses kepada bahan bacaan elektronik ini.
'JANGGAL' UNTUK PEMBACA, KURANG PERMINTAAN DI SINI
Bagi penerbit buku kanak-kanak, Cik Rilla Melati, e-buku masih dianggap janggal untuk diterokai para pembaca kita.
Beliau yang sudah menerbitkan 25 buku sepanjang 10 tahun lalu mengakui pernah cuba menyelami industri e-buku namun berhenti kerana sambutannya tidak menggalakkan.
"Permintaan bagi e-buku dalam buku bahasa Melayu kanak-kanak sangat rendah tidak cukup untuk memberikan saya satu lonjakan untuk saya ini terus pergi bidang e-buku.
"Menerbitkan e-buku secara besar-besaran tidak logik pada saya pada masa ini kerana permintaan yang terlalu kecil, tetapi di masa hadapan, sekiranya permintaan itu berubah, maka saya lebih beminat pada masa hadapan untuk menghasilkan e-buku," kongsi Cik Rilla.
Sentimen yang sama turut dikongsi oleh novelis tempatan Cik Munirah Jaafar, yang terkenal dengan nama penanya Nirosette.
Namun demikian, beliau sebenarnya lebih beruntung kerana sudah ada khalayak e-buku yang lebih besar di Malaysia.

"Saya sendiri rasakan saya mula menulis cerita-cerita saya menerusi e-novel yang mana mereka dapat membaca, mereka dapat memuat turun cerita-cerita tersebut tanpa bayaran dan dari situ saya dapat membina khalayak saya sendiri jadi dengan adanya khalayak mereka dapat tahu tulisan saya ada di internet," kongsi penulis muda itu.
DILEMA 'BUNUH' BUKU TRADISIONAL
Menjawab soalan lanjut tentang cabaran dan dilema yang dihadapi dalam isu bahan bacaan e-buku berbahasa Melayu, Cik Rilla menjelaskan satu lagi sebab beliau memilih untuk tidak menerbitkan e-buku - iaitu persaingan di antara dua wadah bacaan ini, bagi golongan pembaca yang sama.
"Hari ini kalau saya hasilkan ebook siapakah yang akan membaca buku dalam bentuk konvensional? Kita cetak seribu copy dalam bahasa Melayu (misalnya), 1,000 itu belum tentu terjual dalam masa setahun. Kalau yang 1,000 ini saya tukarkan dalam bentuk e-buku, e-buku ini terjual tapi yang 1,000 ini tidak terjual," luah beliau.
"Jadi kalau saya membuat e-buku, bererti saya membunuh 'conventional publication' dalam bentuk yang kita kenal hari ini. Jadi tidak logik untuk sebuah syarikat penerbitan untuk membuat tindakan yang seperti itu."

E-BUKU DEKATI MASYARAKAT MELAYU
Namun demikian, e-buku adalah suatu fenomena yang hakikatnya tidak dapat ditolak dalam zaman elektronik dan peranti mudah alih seperti telefon bimbit dan tablet.
Maka itu juga, dalam usahanya mempopularkan e-buku, NLB berusaha menyediakan lebih banyak ruang e-buku di sini.
Terkini NLB baru sahaja membuka ruang e-book di Wisma Geylang Serai bagi mendekati lebih ramai pembaca Melayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.