Pindaan terhadap Piagam Wanita bantu polis ambil tindakan lebih tegas ke atas jenayah online
Hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan pelacuran serta undang-undang baru yang membolehkan "tindakan lebih tegas" ke atas jenayah online merupakan antara pindaan yang diusulkan terhadap Piagam Wanita.

Pegawai polis memberkas seorang suspek di Singapura. (Gambar: Hanidah Amin)
SINGAPURA: Hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan pelacuran serta undang-undang baru yang membolehkan "tindakan lebih tegas" ke atas jenayah online merupakan antara pindaan yang diusulkan terhadap Piagam Wanita.
Rang Undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen.
Demikian menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media hari ini (7 Okt).
Piagam itu melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan daripada bahaya dan dieksploitasi.
Antara perubahan yang dicadangkan adalah pengenalan bidang kuasa tambahan kepada bahagian Piagam itu yang akan membolehkan pihak polis berurusan lebih baik dengan sesiapa yang menggunakan "perkhidmatan komunikasi jarak jauh" untuk menawarkan atau memudahkan penyediaan khidmat seksual di Singapura.
Ini walaupun laman web yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian dihoskan ke luar negara, kata MHA.
"Kegiatan jenayah yang dijalankan melalui platform online, atau jenayah dalam talian, adalah satu keprihatinan yang serius," kata MHA.
Pada masa ini, bahagian Piagam yang menangani kesalahan sedemikian "terhad kepada orang-orang di Singapura yang mengendalikan atau menyenggara khidmat komunikasi jarak jauh di Singapura yang menawarkan atau memudahkan, mengatur, mengurus atau menyelia penyediaan khidmat seks".
LUMPUHKAN SINDIKET JENAYAH
Selain daripada jenayah online, MHA mahu "melumpuhkan" sindiket jenayah dari segi menyekat ruang operasi, terutama di kawasan kejiranan, tambah kenyataan MHA berkenaan.
"Apabila sindiket berubah dan menggunakan platform online untuk mengiklankan dan mendapat pelanggan, mereka juga memindahkan operasi jenayah dari kawasan tradisional ke tempat-tempat kediaman," kata MHA.
"Ini telah menyebabkan keresahan yang ketara kepada penduduk, dengan kehadiran individu-individu yang mencurigakan di kawasan kejiranan kita, dan menjejaskan keselamatan penduduk. Keadaan ini perlu ditangani."
Di bawah perubahan yang dicadangkan, pemilik rumah dan penyewa perlu menunjukkan bahawa mereka tidak mengetahui dan tidak boleh, dengan "daya usaha yang munasabah", mengetahui bahawa tempat mereka akan digunakan untuk kegiatan jenayah, sekiranya aktiviti sedemikian dikesan di premis mereka.
Pihak kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Agensi Hartanah (CEA), agensi hartanah dan ejen untuk membantu dan memberi nasihat kepada pemilik rumah dan penyewa untuk menjalankan pemeriksaan sewajarnya.
"Ejen hartanah yang dengan sengaja membantu menyewakan tempat bagi kegiatan jenyah juga boleh dikenakan tindakan pendakwaan jenayah," kata MHA.
HUKUMAN BERAT BAGI KESALAHAN BERKAITAN PELACURAN
Pindaan yang dicadangkan termasuk hukuman yang dipertingkatkan terhadap sindiket jenayah yang "mengeksploitasi dan meraih keuntungan daripada wanita dan kanak-kanak perempuan". Hukuman baru itu akan membantu mencapai "pencegahan yang lebih besar dan menjejas keuntungan "sindiket, kata MHA.
Hukuman penjara maksimum akan ditambah dari tiga tahun kepada lima tahun - dan dari lima tahun kepada tujuh tahun dalam kes yang lebih teruk - untuk pesalah kali pertama.
Hukuman maksimum bagi pesalah berulang akan dinaikkan kepada tujuh tahun dan bagi kesalahan yang lebih teruk, hingga 10 tahun.
Jumlah denda juga dinaikkan kepada S$100,000 untuk pesalah kali pertama dan S$150,000 untuk pesalah berulang.
Denda maksimum sekarang adalah dari S$2,000 hingga S$10,000 untuk pesalah kali pertama dan S$10,000 hingga S$15,000 untuk pesalah berulang.
Pindaan lain yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang itu juga akan memastikan pihak berkuasa "tetap berkesan" dalam bertindak terhadap "modus operandi sindiket jenayah", kata MHA.
Kali terakhir Piagam Wanita dipinda adalah pada tahun 2016.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.