Pindaan terbaharu AMLA bakal perkasa MUIS tubuhkan Wakaf Masyarakat SG
WMS akan menjana sumber pendapatan lebih mampan untuk membiayai keperluan masyarakat. Masyarakat boleh menyumbang kepada WMS dalam bentuk wang tunai, hartanah dan penamaan sebagai pewaris simpanan CPF.
SINGAPURA: Parlimen meluluskan pindaan terbaharu pada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA).
Antara lain, pindaan itu akan membolehkan MUIS menubuhkan sebuah wakaf tersendiri.
Ia bukan seperti wakaf tradisional yang mesti ditubuhkan oleh para individu yang menentukan tujuan atau bagaimana wakaf itu boleh digunakan selepas mereka meninggal dunia.
Dengan pindaan tersebut, ia sekali gus juga akan memperkasakan MUIS untuk menubuhkan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).
Semasa membentangkan usul bagi pindaan itu di Parlimen petang tadi, Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menjelaskan bahawa WMS akan membolehkan lebih ramai individu untuk mewakafkan aset mereka untuk generasi akan datang.
Ia juga boleh memastikan masyarakat Islam berupaya menguruskan keperluan kewangannya sendiri dan menangani cabaran serta keperluan masa depan.
"Ini akan membentuk asas perundangan bagi penubuhan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) untuk memenuhi keperluan sosioagama masyarakat Islam kita dalam jangka panjang. Menyumbang sedekah jariah kepada generasi pelapis adalah suatu amalan murni yang biasa dilakukan dalam Islam dan pernah menjadi lumrah nenek moyang kita," kata Encik Masagos.
"WMS akan menjana sumber pendapatan lebih mampan untuk membiayai keperluan masyarakat. Ini termasuk memperbaharui tempoh pajakan dan penyelenggaraan masjid, pembangunan asatizah dan program masyarakat lain," tambahnya.
Beliau juga berharap penubuhan WMS boleh menggalakkan lebih ramai dalam kalangan masyarakat untuk berwakaf.
"Penubuhan WMS ini juga bertujuan menyemarakkan semula semangat berwakaf masyarakat kita, selepas wakaf terakhir oleh Shaikh Taha Abubakar Mattar bagi tapak Masjid Sallim Mattar pada tahun 1978, hampir 50 tahun lalu. Dalam semangat dan dengan prinsip yang sama WMS akan ditubuhkan oleh MUIS, sebagai sebuah wakaf masyarakat untuk kepentingan jangka masa panjang sosioagama kita. Sebuah wakaf yang kita bangunkan bersama, untuk dinikmati bersama, terutama oleh generasi masa hadapan," ujar Encik Masagos.
PERKUKUH JAWATANKUASA FATWA
Selain aspek wakaf, pindaan itu juga dijangka akan memperkukuhkan lagi Jawatankuasa Fatwa.
Ini akan dilakukan dengan menambah jumlah anggota penuh jawatankuasa tersebut kepada lapan orang berbanding empat sekarang.
Bagi penggal tiga tahun dari September 2022 hingga Ogos 2025, pengerusi Jawatankuasa Fatwa iaitu Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir disokong empat anggota penuh iaitu Ustaz Muhamad Hasbi Hassan, Ustazah Dr Rohana Ithnin, Ustaz Dr Firdaus Yahya dan Ustaz Fathurrahman Dawoed.
"Jawatankuasa Fatwa juga akan diperkasa untuk tentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengeluarkan fatwa berdasarkan permintaan yang diterima. Misalnya, tidak perlu untuk keluarkan fatwa jika Pejabat Mufti sudah keluarkan irsyad tentang isu tertentu. Perbincangan fatwa dengan itu boleh tumpukan kepada isu-isu yang penting dalam kehidupan masyarakat Islam kita. Ini akan bantu mengutamakan sumber dan usaha jawatankuasa itu," jelas Encik Masagos.
DEFINISI JELAS SEKOLAH AGAMA
Pindaan itu juga akan menyertakan takrifan yang jelas bagi sekolah atau institusi agama dalam AMLA.
Takrifan itu memberikan kuasa kepada pegawai MUIS untuk membuat pemeriksaan dan juga tempoh tetap 14 hari untuk rayuan dibuat kepada Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
"Ini akan memberi MUIS keupayaan untuk mentadbir kesemua sekolah agama Islam di Singapura, di kedua-dua platform online mahupun fizikal dan membolehkan MUIS untuk ambil tindakan terhadap mana-mana sekolah agama yang tidak terdaftar di sini," kata Encik Masagos.
Beliau menjelaskan langkah itu akan memastikan pendidikan agama Islam di Singapura dikendalikan oleh institusi dan asatizah yang bertauliah dengan kelayakan yang sewajarnya.
Ia juga akan memelihara kewibawaan sektor agama dalam membimbing masyarakat Islam di sini mengamalkan agama Islam dalam masyarakat yang moden dan berbilang agama.
PINDAAN DALAM BIDANG LAIN
1. Perkukuh Pengiktirafan Produk Halal Luar Negara.
MUIS akan memperkukuh rangka kerja perundangan bagi Badan-Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) untuk memberi lebih jaminan kepada pelanggan Muslim serta golongan peniaga semasa membeli produk-produk halal yang diimport. Ia akan dilakukan setara dengan piawai pensijilan yang setanding standard MUIS .
2. Perhebat usaha pendigitalan ROMM dan Mahkamah Syariah (SYC)
Pindaan untuk membolehkan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) memperkenalkan Sijil Pernikahan bagi Perkahwinan Muslim dalam bentuk digital. Ini juga termasuk pelaksanaan sistem pengurusan kes digital SYC yang baharu.
3. Beri SYC Lebih Banyak Kuasa
Buat masa ini, SYC hanya boleh mengeluarkan perintah substantif jika terdapat permohonan namun pindaan ini akan memberi SYC kuasa untuk menangani keperluan penting keluarga-keluarga yang terjejas. Ia juga boleh mengelak pihak-pihak tertentu daripada membuat permohonan yang akan memanjangkan kes dan menimbulkan kesukaran pada individu yang terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.