Pindaan Piagam Wanita diluluskan; termasuk pilihan cerai atas sebab persetujuan bersama
Beberapa Anggota Parlimen (AP) menyuarakan keprihatinan mereka pada Isnin (10 Jan) mengenai sama ada pilihan baru perceraian akan meningkatkan kadar perceraian dengan menjadikannya lebih mudah untuk pasangan berkahwin berpisah haluan.

Jumlah perkahwinan Muslim di Singapura tidak jatuh mendadak semasa pandemik COVID-19. (Gambar hiasan: AFP/Jay Directo)
SINGAPURA: Beberapa Anggota Parlimen (AP) menyuarakan keprihatinan mereka pada Isnin (10 Jan) mengenai sama ada pilihan baru perceraian akan meningkatkan kadar perceraian dengan menjadikannya lebih mudah untuk pasangan berkahwin berpisah haluan.
Mereka menawarkan cadangan untuk membantu pasangan memperbaiki hubungan serta menghuraikan masalah mereka daripada memikirkan tentang soal penceraian.
Para AP itu membahaskan tentang Piagam Wanita, antara lain, yang dipinda untuk memperkenalkan satu alasan baru Bercerai dengan Persetujuan Bersama (DMA) dalam prosiding penceraian, yang bertujuan untuk menjadi pilihan lebih baik bagi pasangan berpisah secara sah.
Seramai 16 AP berucap sepanjang perbahasan selama tiga jam mengenai pelbagai aspek pindaan itu. Sesetengah daripada mereka mempersoalkan keperluan bagi pindaan tersebut dan mahu mendapatkan jaminan daripada Pemerintah bahawa pilihan baru itu tidak akan menghakis kesucian perkahwinan.
Pindaan itu, yang diluluskan oleh Parlimen pada Isnin, menambah satu laluan baru bagi pasangan untuk bersetuju secara bersama bahawa perkahwinan mereka sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan bahawa kedua-dua pihak bertanggungjawab atas perpisahan tersebut.
Sebelum ini, pasangan suami isteri yang ingin bercerai mungkin boleh meletakkan punca perceraian sengit dan pahit sebagai sebab mereka mahu berpisah, seperti mengabaikan nafkah dan tanggungjawab, berlaku curang atau
kelakuan tidak wajar, yang meletakkan kesalahan ke atas pasangan mereka.
Cik Sun Xueling, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata pilihan baru itu lantas akan menambah satu "pengadilan menenangkan" dalam sistem pengadilan keluarga sementara mengekalkan perlindungan untuk melindungi institusi perkahwinan.
Dalam ucapannya, Encik Lim Biow Chuan, AP bagi Mountbatten, menarik perhatian bahawa pilihan perceraian "tiada kesalahan", yang diterima pakai oleh sesetengah bidang kuasa, membawa kepada kemerosotan berterusan dalam kadar perkahwinan dan kenaikan dalam keibubapaan tunggal serta bersekedudukan.
Beliau mempamerkan kepada Dewan satu risalah lama pemerintah mengenai perceraian yang menyeru pasangan untuk mempertimbangkan semula penceraian sekalipun jika masalah mereka seolah-olah menemui jalan buntu.
Encik Lim bertanya: "Adakah Menteri Negara bersetuju bahawa membenarkan satu perceraian berdasarkan persetujuan bersama boleh secara tidak sengaja menjejas ikrar perkahwinan dan komitmen pasangan kepada institusi perkahwinan?".
Encik Lim juga berkata perceraian benar-benar menjejas kanak-kanak kecil yang tersepit di antara ibu bapa mereka.
Beberapa AP, yang mengatakan mereka menyokong Rang Undang-Undang itu, juga berkongsi keprihatinan sama dengan Encik Lim berhubung DMA.
Cik Sylvia Lim, AP bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, berkata pendekatan DMA akan membolehkan pasangan untuk "mengatasi" syarat-syarat sebelum ini untuk membuktikan bahawa perkahwinan itu sudah retak dan membolehkan mereka menetapkan "ambang sendiri bagi menyimpulkan bahawa perkahwinan itu sudah gagal".
“Dengan pengenalan DMA, syarat-syarat untuk bercerai boleh dikatakan sudah dilonggarkan. Patutkah kita menjangkakan kenaikan pada kadar perceraian?" tanya AP pembangkang itu.
Encik Melvin Yong, AP bagi Radin Mas, berkata beliau faham mengapa pilihan baru perceraian itu diperlukan kerana beliau sudah menyaksikan kes pasangan suami isteri yang terjerat dalam sebuah perkahwinan yang tidak membahagiakan.
DMA boleh menjadikan proses perceraian lebih mudah, kata Encik Yong, sambil menyeru agar lebih banyak campur tangan dilakukan untuk menghindari perkahwinan daripada berakhir dalam perceraian.
Para AP lain seperti Encik Louis Ng dan Cik Carrie Tan - kedua-duanya dari GRC Nee Soon - mengusulkan untuk mengubah nama Piagam Wanita kepada "Piagam Keluarga" untuk mencerminkan undang-undang yang lebih setara jantina.
Mereka berkata terdapat anggapan bahawa undang-undang itu tidak melindungi kaum Adam, sekali gus silap dengan menyatakan bahawa kaum wanita mempunyai kedudukan yang istimewa untuk membesarkan anak-anak serta kewujudannya sebagai undang-undang yang melindungi wanita digunakan sebagai naratif utama dalam perbicangan misoginistik online.
Cik Tan dan Encik Ang Wei Neng, AP bagi GRC West Coast, juga berhujah bahawa dalam sebuah perceraian, suami juga seharusnya dibolehkan membuat permohonan bagi nafkah walaupun mereka bukannya tidak berupaya.
RESPONS MSF
Menangani semua keprihatinan dan usulan tersebut dalam ucapan penutupnya, Cik Sun menekankan DMA bukanlah satu pilihan perceraian "tiada kesalahan" seperti yang disaksikan di negara-negara lain.
Ini kerana pasangan suami isteri yang ingin bercerai dan memilih DMA sebagai alasan untuk berpisah tetap perlu membuktikan bahawa perkahwinan mereka sudah runtuh tanpa sebarang peluang untuk merujuk semula dan bahawa satu pihak tidak boleh menceraikan pihak yang lain tanpa persetujuan bersama.
Pemerintah tidak menjangkakan jumlah perceraian akan meningkat secara ketara berikutan pindaan dalam Piagam Wanita, tambah beliau.
Ia juga bukan satu laluan "lebih pantas" untuk bercerai kerana pasangan suami isteri tetap perlu memenuhi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum perceraian boleh difailkan dan minimum tiga bulan untuk perceraian itu dimuktamadkan.
“Pasangan yang bergantung kepada DMA tidak semestinya akan bercerai lebih pantas daripada pasangan yang bergantung kepada sebab-sebab berlaku curang, pengabaian nafkah dan tanggungjawab ataupun kelakuan tidak boleh diterima. Semuanya bergantung kepada fakta," jelas Cik Sun.
Mahkamah akan mempertimbangkan dengan teliti semua fakta tersebut dan mengambil kira keadaan tertentu kes, tambah beliau.
Berhubung soal mengubah nama Piagam Wanita, Cik Sun berkata pindaan yang dibahaskan pada Isnin tidak berpihak kepada mana-mana jantina dan beberapa bahagian undang-undang itu juga melindungi wanita serta remaja perempuan dalam aktiviti maksiat serta pelacuran.
Meskipun kaum wanita di Singapura hari ini lebih berpelajaran dengan peluang pekerjaan lebih baik, masih terdapat golongan wanita lemah yang memerlukan perlindungan Piagam Wanita.
Sebelum ini, Pemerintah mempertimbangkan untuk mengetepikan syarat tidak berupaya bagi lelaki untuk menerima nafkah selepas penceraian. Namun mengambil kira bahawa walaupun dengan kemajuan dalam kesamarataan jantina masa kini, lebih berkemungkinan bagi seorang isteri untuk meninggalkan kerjayanya demi menjaga keluarga sementara suami terus keluar bekerja.
“Ini bermakna selepas penceraian, wanita cenderung lebih terjejas dari segi kewangan. Peruntukan semasa lantas menyediakan nafkah bagi pihak yang lebih cenderung untuk terjejas dari segi kewangan selepas bercerai - wanita dan lelaki tidak berupaya," terang Cik Sun lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.