Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pindaan perlembagaan bagi lindungi takrifan perkahwinan wajar dilakukan dengan menyeluruh: Peguam

"Kita ada beberapa undang-undang saya rasa harus kita kaji semula. Ini harus kita perkemas supaya tidak ada lagi cabar-mencabar di mahkamah. Ini harus dibincangkan dan dihuraikan sebelum dibentangkan di parlimen" : Peguam

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pindaan perlembagaan untuk melindungi takrifan perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita wajar dilakukan secara menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek undang-undang di Singapura supaya ia jelas dan terang kepada masyarakat, menurut seorang peguam.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada Ahad (21 Ogos) berkata Perlembagaan akan dipinda untuk melindungi takrifan perkahwinan iaitu antara seorang lelaki dan seorang wanita daripada dicabar di mahkamah.

Ini dilakukan sedang pemerintah mengumumkan bahawa Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menetapkan hubungan seks antara lelaki sebagai satu jenayah, akan dimansuhkan.

"Kita ada Akta HDB, pengambilan anak angkat dan pendidikan. Kita ada beberapa undang-undang saya rasa harus kita kaji semula. Ini harus kita perkemas supaya tidak ada lagi cabar-mencabar di mahkamah. Ini harus dibincangkan dan dihuraikan sebelum dibentangkan di parlimen," kata Encik Abdul Rohim Sarip, seorang peguam.

Menteri Undang-Undang K Shanmugam pada Isnin (22 Ogos) berkata undang-undang dan dasar-dasar yang bergantung kepada takrifan perkahwinan tidak boleh dicabar di Mahkamah di bawah Artikel 12 yang menjamin kesaksamaan di bawah undang-undang, atas dasar ia tidak berperlembagaan.

"Undang-undang perlembagaan akan diubah bukan untuk memberikan takrifan terhadap perkahwinan tetapi mengekalkan takrifan perkahwinan seperti apa yang terdapat di Piagam Wanita. Piagam Wanita telah menetapkan apakah takrifan perkahwinan. Itu yang akan dipinda di Perlembagaan untuk mengikut takrifan Piagam Wanita," kata Encik Abdul Rohim.

Lantas takrifan perkahwinan mengikut apa yang sudah terkandung dalam Piagam Wanita menjadikannya sukar dicabar.

Piagam Wanita yang diluluskan pada 1961, mentakrifkan institusi keluarga dengan menggubal undang-undang monogami bagi perkahwinan sivil.

Menurut piagam itu, perkahwinan yang dilangsungkan di Singapura atau di tempat lain antara dua orang, yang pada tarikh perkahwinan itu, masing-masing bukan seorang lelaki dan seorang wanita, adalah tidak sah."

PROSES MEMINDA PERLEMBAGAAN

Selaras dengan hala tuju pemerintah untuk memelihara takrifan perkahwinan tersebut, proses meminda perlembagaan akan diadakan di parlimen dan ia akan mengambil masa.

"Pejabat peguam negara akan menyiapkan draf untuk diberikan kepada parlimen untuk dibincangkan sebagai bacaan pertama. Selepas itu dibincangkan, dihujahkan di parlimen. Selepas itu bacaan kedua, selepas itu baru dijadikan undang-undang tetapi ini memakan masa yang panjang.

"Saya rasa kerana banyak isu yang akan timbul daripada pindaan perlembagaan ini kerana kita harus lihat banyak undang-undang terbabit akan juga dibincangkan," kata Encik Abdul Rohim.

Untuk meminda perlembagaan, majoriti dua pertiga diperlukan di parlimen.

Proses ini mendahului pemansuhan Seksyen 377A yang menurut beliau juga akan dilakukan dengan teliti.

Undang-undang akan diubah untuk membuat segala cabaran di mahkamah tidak berkesan atau tidak boleh diketengahkan di mahkamah kerana ia adalah keputusan daripada pihak pemerintah atau "non-justiciable" yang bermakna tidak boleh dicabar di mahkamah.

Sungguhpun begitu, beliau mengambil perhatian tentang satu kemungkinan yang boleh timbul di masa akan datang.

"Satu lagi perkara yang timbul daripada usul ini ialah ada sesetengah pihak mungkin akan bertanya ini juga satu pencegahan yang mencegah saya menggunakan hak saya untuk ke mahkamah. Jadi itu pun satu isu yang boleh saya ketengahkan ke mahkamah kerana awak cegah saya untuk menegakkan hak saya. Jadi itu mungkin satu isu kemudian kerana pada dasarnya kita tak boleh hapuskan hak kita untuk ke mahkamah," jelas Encik Abdul Rohim.

KEMUNGKINAN TAKRIFAN DIUBAH PADA MASA DEPAN

Meskipun pelbagai usaha kini dilakukan bagi melindungi takrifan perkahwinan sebagaimana ia termaktub dalam Piagam Wanita sekarang, Encik Abdul Rohim juga berkata, tetap ada ruang untuk mengubahnya pada masa akan datang.

Ini meskipun beliau rasakan ia tidak mungkin berlaku dalam waktu terdekat.

"Kalau sesuatu pemerintah itu atau sesuatu parlimen mahu mengubah Piagam Wanita untuk mengubah takrifan Piagam Wanita, ia boleh lakukan dengan adanya majoriti undi di parlimen. Jadi ada kelonggaran kepada pemerintah akan datang untuk menilai keadaan semasa itu, adakah perlu diubah, akta atau piagam wanita itu, untuk mengubah definisi perkahwinan," kata Encik Abdul Rohim.

PERKAHWINAN DI BAWAH AMLA

Bagi masyarakat Islam, apa yang jelas menurut Encik Abdul Rohim adalah takrifan perkahwinan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA) berbanding undang-undang sivil yang tertakluk di bawah Piagam Wanita.

"Seksyen 95 AMLA menyatakan setiap perkahwinan itu mesti dijalankan oleh seorang kadi dan kadi itu kalau dia tidak puas hati ada halangan, dia tidak akan teruskan perkahwinan atau pernikahan itu. Dengan sendirinya AMLA telah memberikan kuasa kepada kadi, kepada pejabat nikah.

"Kalau ada seseorang itu atau pasangan itu yang tidak boleh dinikahkan secara Islam, dengan sendirinya tidak boleh kita laksanakan. Jadi kita ada undang-undang yang kuat di bawah AMLA yang tidak akan membenarkan perkahwinan yang bukan antara lelaki dan wanita," jelas Encik Abdul Rohim.

Selaras itu, penguasa dan badan Melayu Islam di sini seperti MUIS, PERGAS dan AMP menyambut baik jaminan pemerintah untuk melindungi takrifan perkahwinan antara lelaki dan wanita di Singapura.

Dalam satu panduan yang dikeluarkan Pejabat Mufti pada Selasa (23 Ogos), ia menyatakan kekhuatiran utama bukanlah soal perubahan undang-undang itu sendiri tetapi kesannya terhadap masyarakat.

Sungguhpun demikian ia menasihati masyarakat Islam supaya hidup dengan yakin, dipandu oleh prinsip-prinsip dan sistem nilai yang utuh sambil menekankan bahawa perubahan pada undang-undang negara tidak bermakna cara kehidupan dan pegangan masyarakat akan turut berubah.

Dalam mengharungi perkembangan-perkembangan LGBT di Singapura, Pejabat Mufti juga menekankan pentingnya keseimbangan dan penglibatan berterusan secara berhikmah dan beradab supaya masyarakat boleh hidup bersama secara aman di tengah-tengah perbezaan pandangan hidup dan orientasi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan