Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pindaan MRHA tidak sekat kegiatan dakwah, perkukuh benteng terhadap ideologi pelampau

Pindaan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) yang diusulkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) tidak menyekat kegiatan dakwah mana-mana pertubuhan agama di Singapura, termasuk badan-badan Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pindaan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) yang diusulkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) tidak menyekat kegiatan dakwah mana-mana pertubuhan agama di Singapura, termasuk badan-badan Melayu/Islam.

Bahkan, dengan pendekatan sederhana pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, langkah tersebut dilihat sebagai cara memperkukuhkan lagi benteng terhadap pengaruh asing, lebih-lebih lagi dengan penggunaan media sosial yang kian meluas.

Demikian pandangan Timbalan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Penolong Profesor Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Dr Mohd Nawab Mohd Osman kepada BERITAmediacorp, semasa diminta ulasan mereka tentang usul pemerintah mahu meminda MRHA.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

USULAN MHA TIDAK SEKAT KEGIATAN DAKWAH

Pengaruh luar sememangnya satu ancaman nyata yang mampu menggugat keharmonian agama, terutama sekali bagi sebuah masyarakat majmuk seperti Singapura. Malah, dengan penggunaan Internet dan media sosial yang berleluasa, isu ini menjadi kian meruncing.

Dalam pembentangan Rang Undang-Undang (Pindaan) Mengekalkan Keharmonian Agama pada 2 Sep, beberapa langkah diusulkan bagi menangani isu tersebut.

Antara lain, Perintah Sekatan (RO) disaran agar berkuat kuasa secara serta-merta terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan kebencian antara agama.

Pameran ulang tahun ke-70 IRO menyusur usaha pertubuhan itu sepanjang beberapa tahun lalu untuk mempromosikan keharmonian silang agama. 

MHA mengusulkan agar pertubuhan agama mematuhi syarat yang mana jawatan-jawatan utama dalam pertubuhan (presiden, setiausaha, bendahari) hanya disandang warga atau Penduduk Tetap Singapura. Sebilangan besar anggota jawatankuasa eksekutif juga haruslah warga Singapura.

Pertubuhan agama juga perlu mengisytiharkan sumbangan dari luar negara bernilai $10,000 atau lebih bagi membendung pengaruh luar.

Mengulas tentang pindaan yang diusulkan MHA, Dr Nazirudin berkata: "Amatlah penting untuk kita memahami bahawa usulan ini sebenarnya tidak menyekat kegiatan dakwah ataupun aktiviti-aktiviti mana-mana pertubuhan Melayu/Islam di Singapura dan pertubuhan lain."

KEHARMONIAN AGAMA TIDAK BOLEH HANYA BERPAKSIKAN UNDANG-UNDANG

Dr Nazirudin menambah, dalam kehidupan masa kini yang lebih terbuka dek pengaruh media sosial dan Internet, tiada pihak yang akan dapat menyekat pengaruh asing sepenuhnya. Namun, apa yang perlu diperkukuhkan lagi bagi mengatasi cabaran ini terletak dalam pindaan MRHA.

Misalnya, Inisiatif Pemulihan Masyarakat (CRI) yang diperkenalkan, memberi peluang kepada seseorang individu untuk memahami agama kumpulan lain yang disinggung.

Inisiatif itu turut dialu-alukan MUIS dan pertubuhan agama lain yang terdahulu sudah memberi maklum balas bahawa tindakan undang-undang sahaja tidak dapat memupuk keharmonian agama secara "sempurna".

"Keharmonian agama adalah sesuatu perkara yang tidak boleh hanya berpaksikan kepada undang-undang. Bahkan keharmonian dan persefahaman adalah sesuatu yang perlu disemai dengan baik dan ia perlu timbul daripada kerelaan hati individu dan juga masyarakat," jelas Dr Nazirudin lagi.

PINDAAN KEKANG IDEOLOGI PELAMPAU, HARUS KEKAL PADA PRINSIP

Turut akur dengan penilaian itu ialah Penolong Profesor Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Dr Mohd Nawab yang percaya usulan MHA itu akan mengukuhkan lagi usaha mencegah ideologi pelampau di Singapura.

"Ia akan meninggalkan kesan positif dari segi mengekang pemikiran-pemikiran yang ekstrem atau tidak sesuai dalam konteks Singapura," kata Dr Nawab.

Pada 2017, dua pendakwah asing, Mufti Menk dan Ustaz Haslin Baharim, diharamkan daripada memasuki Singapura oleh MHA kerana menyebarkan ajaran yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Mufti Menk (kiri), Haslin Baharim (kanan) pendakwah yang diharamkan daripada memasuki Singapura. (Gambar: Petikan gambar dari YouTube)

Permohonan dua pendakwah Kristian asing untuk memberikan ceramah di Singapura juga ditolak pada tahun sama kerana mengeluarkan kenyataan berbentuk Islamofobia.

Dr Nawab bagaimanapun menegaskan tentang peri pentingnya akta itu terus dilaksanakan atas prinsip tidak mencampuradukkan agama dengan politik.

Parlimen dijangka membahaskan Rang Undang-Undang itu pada bulan depan. Jika diluluskan, perubahan yang dilaksanakan bakal menjejas 2,500 pertubuhan agama berdaftar di sini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan