Skip to main content

Singapura

Pindaan kukuhkan undang-undang pembiayaan senjata pemusnah besar-besaran diluluskan

Anggaran Waktu Membaca:
Pindaan kukuhkan undang-undang  pembiayaan senjata pemusnah besar-besaran diluluskan

Pusat bandar Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 06 Feb 2024 07:13PM
SINGAPURA: Pada Selasa (6 Feb), Singapura meluluskan pindaan kepada undang-undang sedia ada untuk mengukuhkan kawalan terhadap pembiayaan kewangan, atau pembiayaan untuk mengelakkan sekatan dan menggalak pertambahan senjata pemusnah besar-besaran.

Perubahan tersebut, yang dicadangkan di bawah Rang Undang-undang Pencegahan Pembiayaan dan Perkara Lain, akan membolehkan Singapura mematuhi keperluan terkini yang ditetapkan oleh Pasukan Bertindak Kewangan (FATF), sebuah badan pemerhati pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan global.

Singapura adalah ahli FATF sejak 1992 dan kini memegang jawatan presiden pasukan tersebut.

FATF menyifatkan pembiayaan percambahan sebagai tindakan menyediakan dana atau perkhidmatan kewangan bagi pembuatan, pemerolehan, pemilikan, pembangunan, eksport, pemindahan perkapalan, khidmat broker, pengangkutan, pemindahan, penyimpanan atau penggunaan senjata nuklear, kimia atau biologi, serta cara penghantarannya dan bahan berkaitan, yang bertentangan dengan undang-undang negara atau kewajipan antarabangsa.

Selain sektor kewangan, FATF juga menarik perhatian terhadap peranan penting yang dimainkan sektor bukan kewangan lain dalam memerangi aliran wang haram. Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan bagi Undang-Undang (MinLaw), Rahayu Mahzam, ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kedua pada Selasa (6 Feb).

Aktiviti perniagaan dalam sektor-sektor tersebut termasuk berurusan dengan batu dan logam berharga, pinjaman wang, pajak gadai dan menyediakan perkhidmatan guaman.

“Sebagai pengawal selia sektor ini, MinLaw sentiasa menyemak undang-undang untuk memastikan ia kekal relevan, berkesan dan selaras sepenuhnya dengan piawaian antarabangsa terkini yang ditetapkan oleh FATF,” kata Cik Rahayu.

Oleh itu, Rang Undang-undang itu meliputi perubahan kepada empat Akta, iaitu Akta Batu Berharga dan Logam Berharga (Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan), Akta Pemiutang Wang, Akta Pajak Gadai dan Akta Pekerjaan Undang-undang.

Rang Undang-undang itu mencadangkan supaya rejim kawal selia sektor-sektor tersebut dikemas kini, dan memerlukan perniagaan atau individu yang dilindungi oleh Akta tersebut untuk melaksanakan langkah-langkah yang cukup untuk memerangi pembiayaan percambahan.

Terdapat perubahan tambahan pada Akta Batu Berharga dan Logam Berharga (Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan) untuk mengukuhkan rejim kawal selia sektor tersebut.

Definisi produk berharga akan dikemas kini.

Di bawah takrifan sedia ada, produk berharga merujuk kepada sebarang barang kemas, jam tangan, pakaian, aksesori, perhiasan atau produk lain yang sudah siap, yang mengandungi atau diperbuat daripada sebarang logam atau batu berharga. Produk tersebut juga harus mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus daripada nilai yang dikaitkan dengan logam atau batu berharga.

Cik Rahayu menarik perhatian bahawa definisi sedia ada tidak meliputi produk dengan sebahagian besar nilai yang dikaitkan dengan faktor lain, seperti penjenamaan atau kemahiran kerja, meskipun produk itu boleh dikaitkan dengan jenayah berkaitan kewangan.

Untuk menutup jurang tersebut, Rang tersebut akan meminda takrifan sedia ada untuk meliputi sebarang produk berharga lebih daripada S$20,000 tanpa mengambil kira nilai dikaitkan dengan logam atau batu berharga.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita